Kedutaan Iran sahkan baki pemain skuad bola sepak wanita tiba di Malaysia

Kedutaan Iran sahkan baki pemain skuad bola sepak wanita tiba di Malaysia
Kedutaan Iran sahkan baki pemain skuad bola sepak wanita tiba di Malaysia

Pemain skuad bola sepak wanita Iran yang menyertai kempen Piala Asia di Australia tiba di Malaysia pada pagi Rabu. Foto Bernama

[DIKEMAS KINI] KEDUTAAN Iran di Malaysia mengesahkan baki pemain skuad bola sepak wanita Republik Islam Iran yang menyertai kempen Piala Asia di Australia tiba di Malaysia pada pagi Rabu.

Rakaman ketibaan pasukan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur tular di media sosial pada awal hari ini.

Menurut kedutaan berkenaan, para pemain dijangka pulang ke Iran tertakluk kepada ketersediaan penerbangan dan pembukaan semula ruang udara Iran.

“Mereka mahu pulang ke tanah air,” menurut kedutaan itu kepada Bernama ketika dihubungi.

Perkembangan itu menyusuli laporan bahawa tujuh lagi pemain skuad berkenaan telah memohon suaka di Australia dengan alasan bimbang akan menghadapi penganiayaan sekiranya pulang ke Iran selepas enggan menyanyikan lagu kebangsaan sebelum perlawanan pembukaan kejohanan pada 3 Mac lepas.

Menurut laporan yang memetik Menteri Imigresen Australia Tony Burke, para pemain itu dipindahkan ke lokasi selamat oleh polis Australia.

Burke turut dilaporkan berkata, baki pemain skuad berkenaan telah dimaklumkan bahawa mereka dialu-alukan untuk kekal di Australia.

Para pemain pada awalnya dijadual pulang ke tanah air selepas kejohanan itu, namun penyokong menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan mereka susulan keputusan pasukan itu untuk tidak menyanyikan lagu kebangsaan sebelum perlawanan menentang Korea Selatan.

Tindakan itu mencetuskan kritikan daripada beberapa pengulas di Iran, dengan seorang pengulas konservatif dilaporkan menuduh pasukan itu sebagai “pengkhianat masa perang” serta menggesa hukuman berat dikenakan.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei pada Selasa menggesa para pemain berkenaan pulang ke tanah air.

“Kepada pasukan bola sepak wanita Iran: jangan bimbang – Iran menanti anda dengan tangan terbuka,” tulisnya di platform X.

Laporan berasingan menyatakan para pemain itu kemudiannya menyanyikan dan memberi tabik hormat kepada lagu kebangsaan pada dua baki perlawanan mereka dalam kejohanan itu.

Apabila ditanya mengenai keadaan dan kebajikan para pemain yang kini berada di Malaysia, Kedutaan itu berkata: “Mereka dalam keadaan sangat baik dan sihat.”

Pemegang pasport Iran yang melancong ke Malaysia menggunakan pasport mereka tidak memerlukan visa untuk tempoh tinggal sehingga 30 hari. – Bernama

Ringkasan AI

  • Kedutaan Iran di Malaysia mengesahkan kedatangan baki pemain skuad bola sepak wanita Iran dari Australia
  • Rakaman ketibaan pasukan tular di media sosial
  • Pemain akan pulang ke Iran tertakluk kepada ketersediaan penerbangan
  • Tujuh pemain memohon suaka di Australia, bimbang menghadapi penganiayaan
  • Pemain dalam keadaan sangat baik dan sihat di Malaysia
Scroll to Top