Lombong emas haram baru seminggu beroperasi diserbu PGA

Lombong emas haram baru seminggu beroperasi diserbu PGA

GUA MUSANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) membongkarkan kegiatan melombong emas secara haram yang dipercayai baru beroperasi kira-kira seminggu selepas menyerbu kawasan ladang getah di Kampung Limau Kasturi di sini, Ahad lalu.

Dalam serbuan pukul 6 petang, anggota risik Batalion 8 PGA turut menahan tiga lelaki tempatan yang sedang menjalankan aktiviti tersebut menggunakan sebuah jentera pengorek dan palong.

Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan di lokasi menemukan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti perlombongan emas secara haram.

Katanya, anggaran keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM541,900.

“Siasatan awal mendapati lombong tersebut dipercayai mampu menghasilkan antara lima hingga tujuh gram emas sehari.

“Ketiga-tiga suspek lelaki berusia 23 hingga 38 tahun yang ditahan itu dibawa ke Balai Polis Bertam untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 137(1)(b) Enakmen Mineral 2001 kerana menjalankan aktiviti perlombongan tanpa kebenaran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Radzi memberitahu, semalam pihaknya berjaya merampas lima unit jengkaut yang digunakan untuk perlombongan besi haram dalam serbuan di Ayer Putih, Kemaman, Terengganu.

Katanya, dua lelaki turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes berkaitan dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 2.5 juta.-UTUSAN

Scroll to Top