JDT pahat sejarah, mara ke suku akhir ACLE

JDT pahat sejarah, mara ke suku akhir ACLE

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) memahat sejarah baharu buat Malaysia apabila menjadi kelab pertama negara mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Kemaraan JDT gagal disekat Sanfrecce Hiroshima meskipun skuad Harimau Selatan tewas 0-1 dalam aksi kedua pusingan 16 di Stadium Bolasepak Hiroshima, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan Harimau Selatan menyingkirkan kelab Jepun tersebut menerusi agregat 3-2, hasil kemenangan 3-1 yang diraih pada aksi pertama di Stadium Sultan Ibrahim, Rabu lalu.

Kejayaan itu membolehkan JDT memperbaiki pencapaian mereka di pentas ACLE selepas tersingkir di pusingan 16 pada musim lalu apabila tewas dengan agregat 0-1 kepada kelab Thailand, Buriram United.

Pada aksi sebentar tadi, disiplin tinggi dipamerkan barisan pemain JDT terutama di bahagian pertahanan sekali gus memberi kesukarna kepada Sanfrecce Hiroshima yang terdesak untuk mendapatkan gol bagi memadam kelebihan agregat dimiliki Harimau Selatan.

JDT pahat sejarah, mara ke suku akhir ACLE

Sanfrecce Hiroshima jelas lebih banyak menguasai bola, namun JDT tetap berusaha untuk menguji kubu lawan dengan serangan balas dan percubaan terbaik mereka hadir pada penghujung babak pertama menerusi rembatan kencang Oscar Arribas namun percubaan itu sekadar menggegar tiang gol tuan rumah.

Selepas kebal bertahan, pintu gol JDT akhirnya bolos pada minit ke-90 menerusi sepakan penalti Kosuke Kinoshita selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) menyaksikan bola terkena tangan pertahanan Harimau Selatan, Nene.

Anak buah Munoz kemudian berdepan detik mendebarkan dalam tempoh lima minit masa kecederaan apabila terpaksa menyerap serangan bertali arus tuan rumah.

Begitupun, keutuhan pertahanan JDT bertahan menyaksikan gawang mereka tidak dibolosi hingga tamat perlawanan, sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir.-UTUSAN

Scroll to Top