Berlin sasar jadi lokasi permulaan Tour de France 2029

Berlin sasar jadi lokasi permulaan Tour de France 2029

Berlin: Penganjur di Jerman yakin Berlin berpeluang cerah untuk dipilih sebagai lokasi permulaan Tour de France 2029.

Pengerusi ‘Grand Depart Allemagne’, Thomas Hofmann berkata, perbincangan dengan penganjur perlumbaan berbasikal berprestij itu, Organisasi Sukan Amaury (ASO), berjalan positif setakat ini.

“Kami sedang mengadakan perbincangan yang sangat baik. ASO melihat peluang bidaan kami bagi edisi 2029 sebagai sangat baik, dengan syarat Berlin dimasukkan dalam pelan penganjuran,” katanya.

Menurut Hofmann, pelan berkenaan turut membabitka laluan perlumbaan melalui tiga negeri di timur Jerman iaitu Saxony, Saxony-Anhalt dan Thuringia.

“Kami komited melaksanakan model tiga tambah satu yang merangkumi beberapa negeri,” katanya.

Bagaimanapun, bidaan Jerman dijangka menerima saingan daripada beberapa pihak lain termasuk Prague di Republik Czech serta Slovenia, negara kelahiran bintang berbasikal dunia Tadej Pogacar.

Hofmann berkata, penganjuran di Berlin juga membawa nilai simbolik kerana ia bakal memperingati 40 tahun kejatuhan Tembok Berlin.

“Kami mempunyai cerita yang lebih kuat,” katanya.

Keputusan mengenai lokasi permulaan perlumbaan berkenaan dijangka dibuat pada musim panas 2027.

Sekiranya dipilih, ia akan menjadi kali kelima perlumbaan berprestij itu memulakan saingan di Jerman selepas Cologne (1965), Frankfurt (1980), Berlin Barat (1987) dan Duesseldorf (2017).

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Grand Depart semakin kerap diadakan di luar Perancis dengan Barcelona dijadual menjadi lokasi permulaan bagi edisi 2026 manakala Edinburgh akan menjadi tuan rumah pada 2027.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top