Penang jumpa Sabah di final Piala Cabaran

Penang jumpa Sabah di final Piala Cabaran

sukan@hmetro.com.my

Georgetown: Penang FC mara ke perlawanan akhir Piala Cabaran selepas menewaskan Kelantan The Real Warriors FC (Kelantan TRW) 1- 0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Bandaraya di sini, sebentar tadi.

Beraksi dalam situasi hujan renyai pada aksi kedua, Penang berdepan dengan corak permainan agresif dipamerkan Kelantan TRW untuk memburu gol awal bagi menghidupkan peluang memburu tiket ke final.

Bagaimanapun, ketumpulan jentera serangan pelawat mudah dipatahkan benteng tuan rumah dengan jaringan tunggal kapten Penang, Stefano Brundo sudah memadai untuk memastikan kemenangan Harimau Kumbang.

Gol kemenangan itu hadir menerusi sepakan penalti pada minit ke-56 selepas bola dilihat terkena tangan pertahanan Kelantan, Alexandre Yeoule dalam kotak penalti ketika cuba menghalang sepakan penjuru Dylan Wenzel Halls.

Wenzel Halls nyaris menambah derita anak buah Akmal Rizal Rakhli namun jaringan pemain sayap lincah kelahiran Australia pada masa kecederaan iaitu beberapa minit sebelum wisel penamat ditiup tidak dikira kerana ofsaid.

Sebelum ini aksi separuh akhir pertama minggu lalu menyaksikan skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail berpesta gol apabila membenam lawan yang sama, 5-2 di Kota Bharu sekali gus melakar sejarah mara ke perlawanan akhir dengan jurang agregat 6-2.

Penang seterusnya akan membuat perhitungan terakhir menentang Sabah FC selepas Sang Badak terlebih dahulu mengesahkan tiket ke pentas final selepas menyingkirkan Perak FC di Stadium Likas dengan agregat 1-0.

Aksi final pertama Piala Cabaran dijadual berlangsung di Stadium Bandaraya manakala final kedua bakal mengambil tempat di Stadium Likas, pada bulan depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top