Aris Ariwatan bimbang ancaman AI, rayu kerajaan segera duduk semeja

Aris Ariwatan bimbang ancaman AI, rayu kerajaan segera duduk semeja

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi Aris Ariwatan memaklumkan pernah membangkitkan isu Kecerdasan Buatan (AI) secara peribadi sebelum ini kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam pertemuan mereka.

Aris atau nama sebenarnya, Haris Fadzilah Daud, 61, berkata perbualan mereka menyentuh mengenai kepantasan atau kelajuan AI dalam mendominasi sesuatu perkara.

“Saya rasa mahu ataupun tidak, kita kena mula buat kajian semula dalam format Malaysia. Kita jangan terlampau fikir mengenai antarabangsa itu sebab kita bukan bercakap perihal undang-undang dan hak lagi.

“Kita menyatakan tentang value (nilai), kesan-kesan yang berlaku jika benda yang boleh kita katakan bukan asli (AI), kini mendominasi pasaran. Kita semua khuatir pasti ada kesan. ​

“Pokok persoalannya, siapa yang nak bertanggungjawab? Kalau dulu, lagu atau lirik itu silap, dia ada manusia, makhluk yang akan bertanggungjawab. Sekarang siapa yang nak bertanggungjawab?” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia amat risau perkara terbabit tidak dilihat secara menyeluruh oleh agensi kerajaan yang berkaitan.

“Jadi saya syorkan kalau boleh mari kita duduk semeja, kita ‘customize’ kaedah Malaysia menanganinya sebab kalau negara maju lain, mereka mungkin ada kaedah mereka tersendiri.

“Biar kita dengan kaedah kita untuk menentukan hala tuju industri muzik Malaysia yang sekarang terlampau tenat keadaannya. Saya khuatir ia akan mengganggu-gugat pendapatan karyawan di tanah air.

“Justeru, saya mohon jasa baik kerajaan. Kalau boleh segerakan, duduk semeja, mari kita berbincang kesan-kesan (AI) yang akan berlaku dalam masa yang terdekat ini,” katanya.

Penyanyi lagu Lamunan Terhenti ini berkata, persaingan membabitkan AI sangat merbahaya disebabkan tiada siapa yang akan bertanggungjawab jika berlaku sesuatu.

“Dulu kalau artis salah, dia yang kena ‘banned’ (gam). Kalau band yang buat salah, mereka yang kena hukuman, komposer salah, dia yang kena banned. Sekarang siapa nak bertanggungjawab?

“Sekarang saya nak sarankan kepada pihak-pihak panel di kementerian supaya bergerak kembali seperti proses terdahulu, mengenal pasti muzik dan hala tuju industri muzik Malaysia.

“Jangan menuding jari kerana AI akan bergerak lebih pantas lagi. Jika begini maka akan pupuslah hasil karya seni tempatan yang original,” katanya.

Katanya, kadang kala ramai teruja dengan AI yang dilihat sebagai membantu apabila mempopularkan semula lagu-lagu lama.

“Saya tidak kata ia (AI) tak membantu. Mungkin hanya dalam 30 atau 40 peratus, tapi kita kena kenal pasti hasil karya, produk. Itu yang paling mustahak.

“Dalam aspek marketing saya tak nafikan, tapi dalam aspek produk itu, keaslian produk itu. Sebab kita bukan fikir yang membuat ‘makanan’ itu, yang kita fikir orang yang memakan makanan itu.

“Apa kesan sampingan? Banyak, sebenarnya. Mungkin dalam aspek fizikalnya tak nampak, tapi dalam aspek spiritualnya akan mengganggu sedikit sebanyak, mengganggu sebab makanan rohani ini, percayalah, dia (AI) amat-amat mencengkam di masa akan datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top