amir_hamid@mediaprima.com.my
KOMITMEN memperkasa pendidikan berkualiti tidak seharusnya bermula hanya di menara gading, sebaliknya perlu dipupuk sejak peringkat awal persekolahan.
Atas prinsip itu, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) melaksanakan Program Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) (SJKC) Hwa Lian 1, Pulau Pangkor, Perak, baru-baru ini.
Ia sebagai usaha menyokong pembangunan pendidikan secara inklusif dan menyeluruh.
Program tiga hari itu menjadi manifestasi keprihatinan MQA terhadap keperluan komuniti setempat, khususnya dalam memastikan murid mendapat persekitaran pembelajaran yang kondusif dan menyokong potensi mereka sejak usia muda.
Majlis pelaksanaan program disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MQA Halinordina Mat Saat.
Turut hadir pengurusan sekolah, guru, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Manjung serta sukarelawan MQA.
Dalam ucapannya, Halinordina menegaskan bahawa pendidikan berkualiti tunjang utama dalam membentuk modal insan yang berdaya saing dan berakhlak, sekali gus menjadi asas kepada kemajuan negara pada masa hadapan.
Menurutnya, selaras dengan semangat Malaysia MADANI, usaha memperkasa pendidikan tidak boleh dilihat secara terpisah mengikut peringkat, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berterusan dan bersepadu sejak bangku sekolah rendah hingga peringkat pendidikan tinggi.
“Peranan MQA bukan sekadar tertumpu kepada jaminan kualiti pendidikan tinggi, malah turut menyokong keseluruhan ekosistem pendidikan melalui inisiatif yang memberi impak langsung kepada masyarakat,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada pendekatan tanggungjawab sosial korporat (CSR), MQA menyalurkan pelbagai bentuk sumbangan bagi menyokong keperluan pembelajaran dan kebajikan murid di sekolah berkenaan.
Antaranya termasuk 114 set beg sekolah dan alat tulis, selain 20 unit kamus elektronik bagi membantu penguasaan bahasa serta satu komputer riba untuk kegunaan makmal sekolah.
Dalam usaha memastikan keselesaan murid, MQA turut melaksanakan penambahbaikan kemudahan kantin dengan menyediakan 36 kerusi baharu dan 18 meja makan, sekali gus mewujudkan persekitaran lebih selesa, selamat dan kondusif untuk kegunaan harian murid.
Program berkenaan turut dimeriahkan dengan penganjuran MQA Fun Lab yang menampilkan aktiviti pembelajaran interaktif berkonsepkan belajar sambil bermain, dengan penekanan terhadap penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Pendekatan interaktif itu bukan sahaja berjaya menarik minat murid, malah menggalakkan pembabitan aktif, meningkatkan keyakinan diri serta merangsang pembelajaran secara lebih menyeronokkan dan berkesan.
Suasana program bertambah ceria dengan pelbagai persembahan murid, termasuk persembahan 24 gendang, tarian singa serta tarian kebudayaan yang mencerminkan kepelbagaian budaya, bakat dan potensi murid sekolah berkenaan.
MQA turut merakamkan penghargaan kepada sekolah, PIBG, PPD Manjung serta Jabatan Pendidikan Negeri atas sokongan dan kerjasama padu dalam menjayakan Program Sekolah Angkat MADANI ini dan berharap kerjasama strategik berkenaan diteruskan secara berimpak dan mampan pada masa hadapan.
Melalui inisiatif seumpama ini, MQA membuktikan komitmen bukan sahaja dalam memastikan kualiti pendidikan tinggi negara, malah turut memainkan peranan aktif dalam membina asas pendidikan yang kukuh demi masa depan generasi akan datang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




