Tragedi tersepit pagi 22 Ramadan

Tragedi tersepit pagi 22 Ramadan

am@hmetro.com.my

Baling: Anggota bomba mengambil masa hampir satu jam bagi menyelamatkan seorang wanita yang tersepit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Padang Setol, Tawar, di sini.

Dalam kejadian jam 1.26 pagi tadi, mangsa berusia 56 tahun tersepit pada bahagian kaki selepas kenderaan Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) Proton X50 dipandunya terbabit kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, sepasukan enam anggota dari BBP Baling diketuai Pegawai Bomba Mohamad Afirul Md Nasir bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati terdapat sebuah SUV Proton X50 yang dipandu seorang wanita dan pacuan empat roda Ford Ranger dipandu lelaki 57 tahun terbabit dalam kemalangan.

“Pemandu wanita itu cedera di bahagian kaki dan tersepit dalam kenderaannya manakala pemandu lelaki tidak tersepit.

“Operasi dilakukan dengan berhati-hati menggunakan peralatan khas untuk mengelakkan kecederaan parah pada mangsa,” katanya.

Zulkhairi berkata, wanita itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke Kulim manakala lelaki itu menuju ke Sungai Petani. Operasi tamat pada jam 4.33 pagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top