Siasatan dakwaan guling kerajaan, Nizamuddin Hamid dipanggil polis Bukit Aman

Siasatan dakwaan guling kerajaan, Nizamuddin Hamid dipanggil polis Bukit Aman

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Peguam kepada isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid tiba di Bukit Aman jam 10.10 pagi ini untuk diambil keterangan berhubung dakwaan cubaan menggulingkan kerajaan.

Nizamuddin Hamid dilihat hadir bersama peguamnya, Datuk Khalid Yusoff bagi sesi soal siasat oleh pihak polis.

Difahamkan, Nizamuddin akan diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Terdahulu, media melaporkan Nizamuddin diminta hadir ke Bukit Aman pada hari ini bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan terbabit.

Difahamkan, beliau dijangka mengadakan sidang akhbar di luar pekarangan Bukit Aman selepas selesai memberi keterangan bagi menjelaskan dakwaan yang dikaitkan dengannya.

Media sebelum ini melaporkan, Nizamuddin antara dua peguam yang dinamakan dalam satu laporan polis yang membawa kepada siasatan berhubung dakwaan cubaan menggulingkan kerajaan.

Seorang lagi peguam yang dinamakan dalam laporan polis itu ialah Amir Zharif Abdullah.

Sebelum ini, Nizamuddin menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkannya sebagai pembohongan terbesar.

Beliau berkata, anak guamnya, Na’imah tidak pernah memberikan sebarang arahan kepada pasukan guamannya untuk menggulingkan kerajaan atau melemahkan demokrasi berparlimen.

Sebelum ini juga, Na’imah mengesahkan satu laporan polis dibuat terhadapnya berhubung dakwaan terbabit dalam usaha menjatuhkan kerajaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top