Jenazah ibu Ida Nerina selamat dikebumikan

Jenazah ibu Ida Nerina selamat dikebumikan

KUALA LUMPUR: Jenazah bekas ahli politik yang juga ibu kepada pelakon, Ida Nerina, iaitu Allahyarham Datuk Marina Md. Yusoff, 84, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, hari ini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Umar Al-Khattab, Bukit Damansara sebelum selesai kira-kira pukul 10.15 pagi dan seterusnya dibawa ke tanah perkuburan dengan menaiki van jenazah.

Kira-kira 100 ahli keluarga serta kenalan rapat hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham. Antara yang hadir ialah adik kepada bekas Perdana Menteri, Najib Razak, iaitu Nazir Razak serta bekas ahli Majlis Tertinggi United Malays National Organisation (UMNO), Syed Hamid Albar.

Turut hadir memberi sokongan moral kepada Ida ialah rakan-rakan artis seperti Hairul Azreen dan Vanidah Imran.

Semalam, bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dilaporkan meninggal dunia pada usia 84 tahun.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.16 petang di sebuah hospital swasta di sini akibat sakit tua.

Sepanjang hayatnya, Marina yang juga bekas peguam dikenali sebagai usahawan serta tokoh politik wanita yang aktif dalam beberapa parti utama negara. Beliau pernah bergiat dalam UMNO sebagai Ahli Majlis Tertinggi serta EXCO Wanita.

Marina kemudian menyertai Tengku Razaleigh Hamzah dalam menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 susulan krisis dalaman UMNO pada 1987.

Selepas pembubaran parti tersebut, beliau kembali menyertai UMNO sebelum mengambil keputusan menyertai PKR pada peringkat awal penubuhan parti itu dan dilantik sebagai Naib Presiden.

Bagaimanapun, beliau kemudian meletakkan jawatan daripada parti berkenaan atas faktor kesihatan selain mahu memberi tumpuan kepada bidang perniagaan. -UTUSAN

Scroll to Top