am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Inspektor polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menerima dan meminta rasuah serta satu pertuduhan menipu melibatkan wang tunai berjumlah RM5,300, awal Januari tahun lalu.
Mohamad Syazwan Jemaan, 32, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara rasuah menerima wang tunai RM300 daripada seorang wanita sebagai upah kerana membebaskannya daripada tahanan reman polis pada 21 Januari 2025.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 9 pagi pada 26 Januari 2025 di Bilik Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa meminta suapan wang tunai RM4,000 daripada wanita sama sebagai dorongan untuk tidak menuduhnya di mahkamah atas kesalahan jenayah komersial.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 5.20 petang pada 3 Februari 2025 di lokasi sama.
Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa cuba memperoleh wang tunai RM4,000 daripada wanita berkenaan sebagai dorongan untuk tidak mendakwanya di mahkamah atas kesalahan jenayah komersial.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan kira-kira jam 2.15 petang pada 5 Februari 2025 juga di lokasi yang sama.
Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Dalam kes berasingan, tertuduh turut didakwa menipu seorang wanita dengan memperdayakannya supaya menyerahkan wang tunai RM1,000 sebagai wang jaminan bagi membebaskan adiknya daripada tahanan reman polis.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 10.15 pagi hingga 12.30 tengah hari pada 21 Januari 2025 di lokasi sama.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dan menetapkan 15 April depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rabiatul Adawiyah Mohd manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




