“Kalau Sekali Dua Lewat Tak Apa, Tapi Kalau Hari-Hari Itu Kurang Ajar” – Rosyam Nor Tegur Sikap Pelakon Datang Lambat

“Kalau Sekali Dua Lewat Tak Apa, Tapi Kalau Hari-Hari Itu Kurang Ajar” – Rosyam Nor Tegur Sikap Pelakon Datang Lambat

Pelakon versatile, Datuk Rosyam Nor berkongsi pandangan peribadinya mengenai isu pelakon yang didakwa datang lambat ke set penggambaran.

Kata Rosyam, perkara tersebut bukanlah isu baharu dalam industri kerana ia sudah berlaku sejak dia mula berkecimpung dalam dunia lakonan.

Bagaimanapun, isu pelakon lewat berada di set penggambaran tidak boleh dinilai secara terburu-buru kerana berkemungkinan mereka sedang berdepan dengan masalah tertentu.

“Kadang-kadang kita tidak tahu apa masalah yang dihadapi oleh pelakon itu. Mungkin dia berdepan sesuatu perkara, jadi kita terima sahaja.

“Sebenarnya pada zaman saya dahulu pun ada juga pelakon senior yang datang lewat. Bagi saya, itu antara rencah kehidupan dalam bidang lakonan.

“Namun, jika mereka sudah komited dengan kerja dan hanya sekali-sekala lewat kerana sebab munasabah, saya rasa tidak ada masalah. Tetapi kalau setiap hari datang lambat, itu sudah kurang ajar namanya,” katanya.

Pelakon drama bersiri popular TV3, Keluarga Itu berkata demikian ketiak ditemui pada majlis tayangan perdana drama vertikal, My Ramadan Love Story yang ditayangkan menerusi platform penstriman, P-Circle di Courtyard by Marriott, baru-baru ini.

Dalam masa sama, Rosyam menegaskan disiplin merupakan perkara penting yang harus diutamakan terutama apabila melibatkan keseluruhan produksi yang bertungkus-lumus menjayakan sesebuah karya.

‘Bagi mereka yang sering datang lewat, mungkin hari ini mereka merasakan diri sangat diperlukan. Tetapi satu hari nanti mungkin mereka tidak lagi diperlukan.

“Ketika itu, kalau baru hendak memperbetulkan disiplin, mungkin sudah terlambat. Perkara seperti ini banyak berlaku di depan mata saya.

“Kadang-kadang orang memilih seseorang pelakon bukan semata-mata kerana lakonannya hebat, tetapi kerana disiplin yang ditunjukkan.

“Walaupun lakonannya sederhana, tetapi jika disiplin baik, tidak merosakkan dan tidak menjejaskan produksi, saya rasa orang seperti itu akan menjadi pilihan.

“Malah saya lihat ramai yang mempunyai disiplin tinggi terus berkarya dan bekerja sehingga hari ini kerana diberikan peluang oleh produksi,” jelasnya.

Menganggap rezeki yang dikurniakan Tuhan harus dijaga, Rosyam mendedahkan dirinya tidak pernah datang lewat ke set penggambaran.

‘Saya sendiri tidak pernah datang lewat. Bukan apa, saya anggap ini rezeki yang Allah berikan. Bila sudah diberikan rezeki, kita kena jaga.

‘Kalau benar-benar lambat kerana jalan sesak atau ada masalah, beritahulah kepada pihak produksi. Tetapi janganlah sampai lima jam lewat. Itu bukan lambat, itu sudah kurang ajar namanya,” ujarnya.

Terdahulu, pelakon Azhan Rani menerusi hantaran di platform Threads meluahkan rasa terkilan terhadap sikap segelintir pelakon, khususnya bakat baharu yang didakwa sering hadir lewat ke lokasi penggambaran.

Menurut Azhan, tindakan tersebut menunjukkan sikap tidak menghormati masa orang lain, lebih-lebih lagi apabila individu terbabit seolah-olah tidak berasa bersalah dengan kelewatan yang dilakukan.

Scroll to Top