Dalam perkembangan terkini, pihak polis telah menahan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi membantu siasatan kes tembakan yang menyasarkan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam bulan lalu.
Memetik laporan Harian Metro, anggota berpangkat koperal itu dipercayai mempunyai kaitan dengan individu yang disyaki terlibat dalam kejadian tembakan tersebut.
Anggota perisik sempadan direman tujuh hari
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah memaklumkan anggota yang berusia dalam lingkungan 30-an itu bertugas dalam bahagian perisikan di kawasan sempadan dan sudah dua tahun berkhidmat di unit tersebut.

Suspek ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada 5 Mac lalu dan direman selama tujuh hari.
Ujian saringan air kencing juga mendapati dia positif dadah jenis ketamin, namun kita tak tahan dia kerana ambil dadah sebaliknya untuk membantu siasatan kes ini.
Menurut Adzli, siasatan awal mendapati anggota terbabit dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan ahli sindiket yang disyaki terlibat dalam kes tembakan tersebut.
Hasil maklumat yang diperoleh juga menunjukkan suspek berada di lokasi kejadian bersama individu daripada sindiket berkenaan kira-kira empat hingga lima jam sebelum insiden berlaku.
Maklumat yang kita peroleh menunjukkan dia berkawan rapat dengan ahli sindiket dan dipercayai pernah bersama-sama menghisap dadah.
Walau bagaimanapun, anggota terbabit telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh remannya tamat semalam.
Polis juga akan memohon perintah bon jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah bagi memastikan suspek terus memberi kerjasama sepanjang proses siasatan dijalankan.
Polis terus siasat hubungan dengan sindiket

Foto Wan Nabil Nasir
Adzli berkata siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti sejauh mana penglibatan anggota tersebut dengan sindiket yang dipercayai terlibat dalam insiden tembakan berkenaan.
Dalam masa sama, polis turut mendapatkan kerjasama pegawai pemerintah anggota terbabit untuk menentukan sama ada tindakan menahan kerja perlu dilakukan bagi mengelakkan kebocoran maklumat atau gangguan terhadap siasatan.
Terdahulu, kenderaan Proton X70 yang dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir menjadi sasaran tembakan oleh individu tidak dikenali.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 5.40 pagi pada 25 Februari lalu. Difahamkan, dua das tembakan dilepaskan ke arah kenderaan tersebut namun mangsa berjaya terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan menggunakan senjata api dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan.
Pssttt! Kes seperti ini sememangnya serius kerana melibatkan keselamatan anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas di sempadan negara. Jika benar terdapat kaitan dengan sindiket jenayah, siasatan yang telus dan menyeluruh amat penting bagi memastikan keadilan serta keselamatan negara terus terpelihara.
Kredit: Harian Metro
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
Arini, Editor-In-Chief di Oh! Media, merupakan penulis sepenuh masa yang pakar dalam menghasilkan artikel berkaitan isu viral dan trending di media sosial, memastikan pembaca sentiasa mendapat maklumat yang terkini dan menarik.



