Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan kadar dividen sebanyak 5.35 peratus dengan jumlah agihan RM524.74 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, sekali gus menjadi agihan tertinggi yang dicatatkan dalam tempoh lapan tahun.
Menurut LTAT, pengumuman tersebut mencerminkan prestasi kewangan LTAT yang terus kukuh serta komitmen berterusan institusi itu dalam memastikan kesejahteraan kewangan jangka panjang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Bagi tahun kewangan 2025, LTAT merekodkan Jumlah Pendapatan Pelaburan sebanyak RM749.49 juta, manakala Keuntungan Boleh Agih pula dicatatkan sebanyak RM541.56 juta.
“Pada masa sama, rizab LTAT meningkat 29.1 peratus kepada RM1.31 bilion, berbanding RM1.01 bilion pada tahun kewangan 2024.
“Prestasi memberangsangkan itu menunjukkan usaha berterusan LTAT dalam memperkukuh kedudukan kewangannya serta meningkatkan daya tahan institusi dalam mengurus simpanan para pencarum secara berhemat dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

LTAT berkata, pengisytiharan dividen itu turut menandakan tahun keempat berturut-turut LTAT mencatatkan pulangan dividen sekurang-kurangnya lima peratus, sekali gus menyerlahkan pendekatan pelaburan berdisiplin yang dilaksanakan dana persaraan itu dalam persekitaran ekonomi yang sentiasa berubah.
Sementara itu, Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md. Radzi berkata, pencapaian berkenaan adalah hasil daripada pelaksanaan perubahan strategik yang dirancang secara menyeluruh dalam pengurusan operasi serta pelaburan LTAT.
Menurut beliau, prestasi yang terus meningkat dari tahun ke tahun menunjukkan LTAT berada pada kedudukan stabil dan bersedia melangkah ke fasa seterusnya dalam pertumbuhan institusi.
“Keputusan yang diumumkan hari ini membuktikan LTAT berada pada landasan kukuh dan yakin terhadap kemampanan dana ini pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, LTAT akan meneruskan agenda transformasinya melalui pelan strategik baharu GEMPUR30 bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang menjadi fasa seterusnya dalam usaha memperkukuh kedudukan LTAT sebagai dana persaraan yang mampan dan berdaya tahan.
Pelan tersebut antara lain memberi tumpuan kepada pengoptimuman serta penyeimbangan semula portfolio pelaburan, termasuk pelaksanaan pelupusan strategik dan pelaburan semula secara terpilih bagi menyalurkan modal kepada sektor yang mempunyai potensi pertumbuhan jangka panjang lebih kukuh.

Selain itu, hala tuju pelaburan LTAT juga selari dengan keutamaan pembangunan nasional, khususnya dalam sektor ekosistem pertahanan, hartanah dan industri farmaseutikal, yang dilihat berpotensi menjana nilai ekonomi jangka panjang di samping memperkukuh keupayaan strategik negara.
Sejak 2023, LTAT turut memperluaskan program celik kewangan dan libat urus bersama pencarum, dengan lebih 52,000 anggota ATM telah menyertai sesi yang diadakan di seluruh negara setakat Disember 2025.
Inisiatif berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran serta kefahaman kewangan dalam kalangan anggota ATM bagi membantu mereka merancang persaraan dan mengurus masa depan kewangan dengan lebih berkesan.
Turut hadir pada majlis pengumuman tersebut ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali serta Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Datuk Seri Azizan Ariffin TUDM, bersama para tetamu kehormat yang lain.




