PETALING JAYA: Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway terus mengukuhkan reputasinya sebagai hospital kuaternari swasta terbaik di negara ini apabila meraih kedudukan pertama di Malaysia dalam senarai Hospital Terbaik Dunia 2026 oleh Newsweek.
Pengiktirafan tersebut menyaksikan SMC mencatatkan peningkatan luar biasa di peringkat global dengan melonjak ke kedudukan ke-138 dunia, berbanding tempat ke-193 pada tahun 2025 dan ke-233 pada 2024.
Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, Datuk Lau Beng Long berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil dedikasi doktor, jururawat, seluruh tenaga kerja serta kepercayaan tinggi yang diberikan oleh pesakit dan rakan kerjasama.
“Kami tetap komited untuk memperkukuh tadbir urus klinikal, meningkatkan keselamatan dan pengalaman pesakit, serta terus melabur dalam kecekapan yang menyokong penjagaan berkualiti tinggi kepada komuniti kami,” katanya dalam kenyataan.
Penarafan Hospital Terbaik Dunia 2026 ini menilai lebih 2,500 hospital daripada kumpulan global yang melebihi 200,000 institusi penjagaan kesihatan di seluruh dunia.
SMC kini berada dalam liga yang sama dengan institusi perubatan elit dunia seperti Mayo Clinic (AS) dan Singapore General Hospital (Singapura).
Penilaian tersebut dibuat berdasarkan metodologi pelbagai sumber yang ketat, merangkumi cadangan daripada lebih 100,000 pakar perubatan, data pengalaman pesakit serta metrik kualiti hospital.
Sebagai hospital utama di bawah Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, SMC kini mempunyai lebih daripada 300 pakar perunding tetap dengan 28 Pusat Kecemerlangan.
Kapasiti hospital ini dijangka berkembang melebihi 1,000 katil sebaik sahaja blok keenamnya, Menara F (Pavilion Kanak-Kanak) siap sepenuhnya.
SMC juga melakar sejarah sebagai hospital pertama di Malaysia yang mendapat tiga akreditasi utama antarabangsa iaitu JCI (Amerika Syarikat), ACHSI (Australia) dan MSQH (Malaysia), sekali gus membuktikan komitmen hospital terhadap piawaian keselamatan pesakit yang tinggi.
Penerbitan ranking tahunan oleh Newsweek dengan kerjasama firma penyelidikan statistik ini merangkumi sistem kesihatan utama di negara-negara maju termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun dan Korea Selatan. –UTUSAN




