Sophia Albarakbah Terkilan Masih Ada Sokong Cetak Rompak

Sophia Albarakbah Terkilan Masih Ada Sokong Cetak Rompak

Pelakon Sophia Albarakbah meluahkan rasa kesal apabila ada segelintir pihak yang memilih menonton filem Amira Amir melalui aplikasi tidak sah.

Sophia atau nama sebenarnya Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, 33, berkata tindakan tersebut dianggap telah merugikan pihak penerbit dan tidak menghargai usaha keras barisan pelakon serta kru produksi yang bertungkus-lumus menyiapkan filem berkenaan.

“Filem ini dihasilkan dengan usaha besar daripada ramai orang, bukan hanya pelakon tetapi juga kru produksi, pengarah dan penulis skrip yang bekerja keras di belakang tabir.

“Apabila ada yang menonton melalui aplikasi haram, ia terasa seperti segala usaha itu tidak dihargai,” katanya.

Sophia berkata demikian ketika ditemui pada majlis rakaman Melodi Raya di Saloma, Kuala Lumpur pada Selasa.

Mengulas lebih lanjut, sokongan penonton melalui platform rasmi amat penting bagi memastikan industri perfileman tempatan terus berkembang dan mampu menghasilkan karya yang lebih berkualiti.

“Harga untuk menonton sebenarnya tidak mahal, sekitar RM15 sahaja. Kalau berkongsi dengan kawan-kawan pun boleh.

“Namun jika ramai memilih menonton secara cetak rompak, industri akan terus berdepan kesukaran untuk berkembang,” katanya.

Dalam pada itu, Sophia turut mendedahkan sebagai pelakon juga mereka perlu membayar untuk menonton filem Amira Amir sebagai tanda sokongan terhadap karya tersebut.

“Saya dan keluarga juga membeli tiket untuk menonton filem yang saya lakonkan. Kami tidak diberikan akses percuma.

“Jadi kami berharap penonton juga dapat menyokong karya tempatan dengan menontonnya melalui saluran yang sah,” katanya.

Scroll to Top