12 Mac 2026 11:09pm
Masa membaca: 4 minit

Iran menyerang sebuah kapal tangki minyak Amerika Syarikat (AS) di Selat Hormuz selepas kapal itu didakwa mengabaikan amaran berulang kali. Foto Agensi
ISTANBUL – Pasukan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran pada Khamis menyatakan bahawa ia telah menyerang sebuah kapal tangki minyak Amerika Syarikat (AS) di Selat Hormuz selepas kapal itu didakwa mengabaikan amaran berulang kali, lapor Anadolu Ajansi (AA).
IRGC dalam satu kenyataan berkata, kapal tangki minyak Safesea Vishnu yang dimiliki oleh sebuah syarikat AS dan mengibarkan bendera Kepulauan Marshall telah diserang di utara selat itu pada awal pagi selepas gagal mematuhi amaran yang diberikan.
Pasukan pengawal itu menyatakan bahawa lalu lintas maritim di Teluk Parsi dan Selat Hormuz kini menghadapi risiko yang semakin meningkat, sambil meletakkan tanggungjawab terhadap situasi berkenaan kepada AS.
Ia turut menggesa kapal-kapal komersial untuk mematuhi peraturan maritim Iran bagi mengelakkan daripada menjadi sasaran peluru berpandu.
Pada 2 Mac, Teheran mengumumkan penutupan Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap perang berterusan AS-Israel terhadap Iran.
Langkah itu telah menyebabkan kos penghantaran dan insurans melambung tinggi serta melonjakkan harga minyak global, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kesan ekonomi di seluruh dunia.
Serangan itu berlaku ketika AS dan Israel meneruskan serangan udara ke atas Iran yang bermula pada 28 Februari lalu yang telah mengorbankan kira-kira 1,300 orang dan mencederakan lebih 10,000 yang lain.
Teheran telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Iraq serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS.- Bernama-Anadolu
Ringkasan AI
- IRGC Iran menyerang kapal tangki minyak AS di Selat Hormuz kerana mengabaikan amaran berulang kali
- Kapal yang diserang, Safesea Vishnu adalah milik syarikat AS dan mengibarkan bendera Kepulauan Marshall
- IRGC menyatakan risiko keselamatan maritim di Teluk Parsi dan Selat Hormuz meningkat dan menuding jari kepada AS
- Iran menggesa kapal-kapal komersial mematuhi peraturannya untuk mengelak serangan
- Penutupan Selat Hormuz oleh Iran berikutan konflik dengan AS-Israel telah menyebabkan peningkatan harga minyak global dan kebimbangan ekonomi



