Tutup pintu Masjid Al-Aqsa tindakan keji – Mohamad Hasan

Tutup pintu Masjid Al-Aqsa tindakan keji – Mohamad Hasan

am@hmetro.com.my

Seremban: Malaysia menyifatkan langkah Israel menutup pintu masuk kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis sebagai suatu tindakan keji kerana ia menyekat orang Islam khususnya rakyat Palestin untuk melaksanakan ibadah pada bulan Ramadan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia suatu perkara yang amat tidak baik dan tidak bermoral serta wajar dikecam masyarakat antarabangsa.

“Kita mendapat khabar bahawa pihak rejim Zionis Israel, selain daripada kekejaman terhadap rakyat Palestin dengan membunuh wanita, kanak-kanak dan rakyat Palestin yang tidak berdosa, dalam bulan Ramadan ini mereka mengambil satu lagi tindakan keji dengan menutup pintu kompleks Masjid Al-Aqsa daripada orang-orang Palestin untuk menjalankan ibadah.

“Ini satu perkara yang tidak bermoral menahan orang daripada menggunakan tempat ibadah yang sudah beribu tahun digunakan oleh orang Islam.

“Malaysia mengecam tindakan ini dan saya rasa banyak negara-negara lain akan turut mengecam tindakan yang tidak bermoral dan keji ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Kepimpinan Jawatankuasa UMNO Bahagian Rembau, di sini, malam tadi.

Terdahulu, media melaporkan Menteri Luar lapan negara yang majoriti penduduk beragama Islam, menggesa Israel segera menghentikan penutupan pintu masuk kompleks Masjid Al-Aqsa, sekali gus mengecam tindakan berterusan menutup kawasan itu kepada umat Islam, terutama pada bulan suci Ramadan.

Menteri Luar Indonesia, Mesir, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam satu kenyataan bersama turut menggesa Israel menarik balik sekatan akses ke Kota Lama Baitulmaqdis serta tidak menghalang umat Islam memasuki masjid berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top