Pengguna India terbeban harga gas memasak naik

Pengguna India terbeban harga gas memasak naik

KOLKATA – Perang yang semakin memuncak di Asia Barat sejak lebih seminggu lalu kini mula menampakkan kesannya hingga ke Asia Selatan.

Peniaga sebuah gerai teh di Kolkata, Abhijit Chakraborty, 45, kini bimbang jika kenaikan harga gas memasak berisiko menjejaskan pendapatannya.

Sejak 7 Mac lalu, syarikat pemasaran minyak India telah menaikkan harga gas memasak 60 rupee (RM2.56) bagi satu silinder gas petroleum cecair (LPG) seberat 14.2 kilogram yang merupakan kadar tertinggi dalam tempoh lebih dua tahun.

New Delhi mengimport kira-kira dua pertiga bekalan LPG, kebanyakannya dari Asia Barat. Dianggarkan 90 peratus daripada import tersebut transit melalui Selat Hormuz, laluan perdagangan kritikan yang menghubungkan Teluk Parsi ke Lautan Hindi yang kini ditutup susulan konflik yang kian memuncak di rantau berkenaan.

Keadaan itu menyebabkan India terdedah kepada kekangan bekalan dan kejutan harga.

“Kenaikan harga akan memberi kesan kepada semua orang. Jika seseorang minum tiga cawan teh sehari sebelum ini, sekarang dia mungkin hanya minum satu sahaja. Saya yang terpaksa tanggung kerugian,” kata Chakraborty.

Harga silinder LPG komersial seberat 19kg juga meningkat kira-kira 115 rupee (RM4.91), namun kekurangan bekalan telah memaksa syarikat-syarikat menyalurkan bekalan komersial kepada sektor domestik dan sektor penting lain.

Akibatnya, restoran dan hotel di beberapa bandar termasuk Bengaluru dan Mumbai mengalami kekurangan bekalan dan mungkin terpaksa menutup operasi.

Kembali guna dapur tradisional

Di Noida, sebuah bandar berhampiran Delhi, Ranjana Devi merupakan antara yang mempertimbangkan untuk menggunakan semula chulha iaitu dapur memasak tradisional yang diperbuat daripada tanah liat atau batu bata dan lazimnya digunakan di kawasan luar bandar.

Chulha iaitu dapur memasak tradisional mungkin akan kembali digunakan kebanyakan keluarga jika gas memasak terlalu mahal.

Chulha iaitu dapur memasak tradisional mungkin akan kembali digunakan kebanyakan keluarga jika gas memasak terlalu mahal.

Wanita berusia 35 tahun itu mempunyai dapur tersebut sebagai pilihan sandaran apabila kehabisan gas. Tidak lama lagi, dia mungkin akan menghidupkannya menggunakan kayu api yang dikutip dari tepi jalan dan ladang atau menggunakan najis lembu kering yang murah sebagai bahan bakar.

Keluarganya yang menjual sayur di gerai tepi jalan masih belum memperoleh langganan gas daripada kerajaan dan terpaksa membeli silinder daripada peniaga pasaran tidak sah.

Jika sebelum ini, satu silinder berharga 1,100 rupee (RM47), keluarganya kini terpaksa membayar kadar tambahan sebanyak 250 rupee (RM10) susulan kenaikan harga baru-baru ini.

Kebimbangan tentang kesan kepada kesihatan akibat asap daripada chulha menjadi perkara kedua baginya.

“Apa pilihan yang saya ada jika gas memasak terlalu mahal?” ujarnya.

Sebahagian besar keluarga dan perniagaan di seluruh Asia kini turut terkesan dengan Perang Iran kerana konflik bersama Amerika Syarikat (AS) dan Israel itu telah mengganggu pengeluaran dan bekalan bahan api dengan ketara.

Penjaja tepi jalan antara yang terjejas akibat kenaikan harga gas memasak tersebut.

Penjaja tepi jalan antara yang terjejas akibat kenaikan harga gas memasak tersebut.

Kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak mentah dan gas asli global kini tergendala, menyebabkan pasaran minyak bergolak terutamanya di Asia yang membeli hampir 90 peratus eksport minyak dari Asia Barat.

Jepun dan Filipina memperoleh kira-kira 90 peratus keperluan minyak mereka dari Asia Barat manakala Korea Selatan dan India masing-masing mengimport kira-kira 70 peratus dan 55 peratus dari rantau tersebut.

China pula bergantung kepada Asia Barat untuk kira-kira 54 peratus daripada jumlah import minyak mentahnya.

Terdapat juga kebimbangan bahawa kekurangan bekalan bahan api boleh menyebabkan peningkatan inflasi dan kadar faedah.

Bagi menghadapi cabaran jangka panjang, negara-negara Asia kini mempelbagaikan sumber tenaga agar tidak terlalu bergantung kepada Asia Barat.

Sebagai contoh, India bercadang membeli lebih banyak minyak bukan sahaja dari AS dan Venezuela, tetapi juga dari Rusia, satu langkah yang mungkin bercanggah dengan perjanjian perdagangan dua hala dengan Washington. – Agensi

Ringkasan AI

  • Perang di Asia Barat berkesan ke Asia Selatan, menyebabkan kebimbangan kenaikan harga gas memasak di Kolkata
  • Harga gas memasak di India naik sehingga kadar tertinggi dalam lebih dua tahun
  • India mengimport dua pertiga bekalan LPG dari Asia Barat, transit melalui Selat Hormuz yang kini ditutup
  • Kekurangan bekalan dan kenaikan harga gas memaksa individu dan perniagaan mencari alternatif seperti chulha tradisional
  • Negara-negara Asia berusaha mempelbagaikan sumber tenaga agar kurang bergantung kepada Asia Barat
Scroll to Top