Sempurnakan hak al-Quran

Sempurnakan hak al-Quran

NUZUL al-Quran yang jatuh pada 17 Ramadan disambut umat Islam setiap tahun.

Ia merupakan peristiwa turunnya wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW di Gua Hirak dan menandakan bermulanya cahaya petunjuk Ilahi untuk membimbing manusia keluar daripada kegelapan jahiliah kepada sinar iman serta kebenaran.

“Penurunan al-Quran merupakan detik penting yang diperakui Islam sebagai agama yang benar di sisi ALLAH SWT.

“Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan sehingga menjadikan bulan ini sebagai satu bulan mulia dan dikenali sebagai Sayyidush Shuhur iaitu penghulu segala bulan,” ucap khatib pada permulaan khutbah Jumaat minggu lalu.

Khutbah bertajuk Nuzul al-Quran: Peringatan menyempurnakan hak al-Quran itu disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan dibacakan di seluruh negeri Terengganu.

AMBIL peluang untuk bertadarus agar dapat memperbaiki mutu bacaan al-Quran. Foto Canva

AMBIL peluang untuk bertadarus agar dapat memperbaiki mutu bacaan al-Quran. Foto Canva

Menurut JHEAT, al-Quran bukan sekadar kitab bacaan, hakikatnya ia merupakan petunjuk hidup, sumber hukum, penawar jiwa dan rahmat bagi seluruh alam.

“Sebagai umat Islam, kita sering menyebut tentang kewajipan terhadap al-Quran. Namun jarang kita meneliti bahawa al-Quran juga mempunyai hak yang mesti ditunaikan,” jelasnya.

Antara hak al-Quran ialah:

1 – Hak al-Quran untuk diyakini kebenarannya

Al-Quran wajib diyakini kebenarannya yang merupakan wahyu Ilahi. Segala kandungan dalam al-Quran wajib dipercayai sebagai Kalamullah yang diturunkan sebagai panduan untuk mencapai keselamatan dan kebahagaian hidup di dunia dan akhirat.

Sesungguhnya beriman dengan al-Quran merupakan salah satu tanda orang bertakwa iaitu Muttaqin.

2 – Hak al-Quran untuk dibaca ayat-ayatnya

Menurut JHEAT, al-Quran mestilah dibaca oleh setiap umat Islam. Berusahalah untuk membaca al-Quran setiap hari.

“Amalan membaca al-Quran akan membuatkan pembacanya beroleh ganjaran pahala yang banyak kurniaan ALLAH SWT.

“Pada bulan Ramadan ini, gandakanlah usaha membaca al-Quran secara tadarus agar bacaan dapat diperbaiki sekali gus menambah ilmu berkaitan tajwid dan hukum-hakam bacaan al-Quran,” jelasnya.

Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Ujarnya lagi, al-Quran juga perlu dihafal sebagai bukti kecintaan kita kepada Kalamullah.

AJARILAH anak-anak untuk membaca dan memahamkan mereka mengenai isi kandungan al-Quran. Foto Canva

AJARILAH anak-anak untuk membaca dan memahamkan mereka mengenai isi kandungan al-Quran. Foto Canva

“Berusahalah menghafal al-Quran dan berikanlah galakan kepada anak-anak supaya menghafal al-Quran,” katanya.

3 – Hak al-Quran untuk difahami kandungannya

Penurunan al-Quran membawa petunjuk daripada ALLAH SWT dalam segala urusan melibatkan kehidupan di dunia dan akhirat, jelas khatib.

“Al-Quran merupakan panduan tertinggi yang mesti dijadikan rujukan utama dalam menjalani kehidupan.

“Hanya ALLAH SWT sahajalah yang berkuasa mengatur segala kebaikan untuk para hamba-NYA. Justeru, kandungan al-Quran mestilah difahami dan dihayati oleh setiap umat Islam.

“Usaha tadabbur al-Quran merupakan langkah penting memahami kandungan al-Quran,” hurainya.

Tadabbur al-Quran bermaksud merenung, berfikir mendalam dan menghayati ayat-ayat al-Quran secara menyeluruh untuk memahami makna, pengajaran, hikmah dan panduannya, lalu diamalkannya dalam kehidupan.

Ujarnya, usaha ini melibatkan penggunaan akal dan hati untuk menghayati isi kandungan al-Quran agar dapat menjadi panduan hidup dan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

4 – Hak al-Quran untuk diamalkan perintah ALLAH di dalamnya

Sambung khatib, hak terbesar al-Quran adalah untuk diamalkan dalam segenap aspek kehidupan meliputi akidah, ibadah dan akhlak.

“Al-Quran tidak hanya mengungkapkan perkara-perkara melibatkan ibadat khusus sahaja, tetapi mencakupi semua keperluan dalam kehidupan.

“Oleh itu umat Islam mestilah menjadikan al-Quran sebagai Dusturul hayah atau panduan kehidupan.

“Ikutilah jejak langkah Rasulullah SAW yang menjadikan al-Quran sebagai cerminan kehidupan Baginda,” katanya.

AL-QURAN merupakan mukjizat agung Nabi Muhammad SAW yang masih kekal hingga ke hari ini. Foto Canva

AL-QURAN merupakan mukjizat agung Nabi Muhammad SAW yang masih kekal hingga ke hari ini. Foto Canva

Sebelum mengakhiri khutbah, khatib berpesan kepada jemaah untuk mengambil pengajaran serta peringatan daripada peristiwa Nuzul al-Quran pada bulan Ramadan agar kita dapat berusaha untuk menyempurnakan hak-hak al-Quran dalam diri kita.

“Kukuhkanlah keimanan terhadap kebenaran al-Quran, lazimi bacaan serta berusaha memperbaiki bacaan dengan bertajwid, hadirkanlah diri ke majlis-majlis ilmu berkaitan tafsir dan tadabur, serta amalkanlah kandungannya dalam kehidupan,” jelasnya.

Scroll to Top