Shanghai: Ferrari memperkenalkan sayap belakang berputar yang digelar “macarena” pada saingan Grand Prix China dengan Lewis Hamilton bangga melihat pasukannya agresif membawa naik taraf seawal musim ini.
Pasukan Itali itu mencuri perhatian pada hari kedua terakhir ujian pramusim di Bahrain bulan lalu apabila memperkenalkan reka bentuk sayap belakang unik pada jentera SF-26.
Ketika kereta berada dalam mod laluan lurus, elemen atas sayap belakang tidak lagi diratakan seperti biasa bagi mengurangkan rintangan udara, sebaliknya reka bentuk Ferrari membolehkan sayap itu berputar ke posisi terbalik.
Rekaan itu tidak digunakan pada perlumbaan pembukaan musim di Grand Prix Australia minggu lalu, namun kelihatan di pit lane menjelang hujung minggu pecut di Litar Antarabangsa Shanghai.
Litar berkenaan memiliki salah satu laluan lurus terpanjang dalam kalendar F1 dengan jarak 1.1 kilometer (km) yang memberi kelebihan kepada kereta dengan kelajuan maksimum tinggi.
“Kami melakukan ujian hampir sehari penuh dengan sayap itu, jadi saya fikir kami sudah memperoleh data yang diperlukan.
“Saya juga sangat berterima kasih kepada pasukan kerana naik taraf ini sebenarnya dijadualkan lebih lewat, tetapi mereka bekerja keras untuk menyiapkannya dan membawanya ke sini.
“Seronok melihat pasukan terus berjuang, terus menolak had dan bekerja lebih masa di kilang untuk menghasilkan naik taraf kerana itulah kunci dalam sukan ini.
“Tahun lalu saya tidak benar-benar melihat potensi penuh pasukan dalam keadaan seperti ini kerana kami memberi tumpuan kepada pembangunan kereta musim ini,” kata Hamilton.
Mengulas sama ada dia merasakan perbezaan ketika menggunakan sayap yang kini digelar “macarena” sempena tarian popular era 1990-an Hamilton berkata perubahan itu sukar dirasai ketika memandu.
“Malangnya ia tidak banyak berbeza, kami hanya dapat melihatnya melalui cermin.
“Jadi saya tidak sabar melihat bagaimana prestasinya di sini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




