Trending
Bekas diplomat dan anak dibebaskan Mahkamah Tinggi Temerloh dalam kes ganja selepas pendakwaan gagal buktikan kes prima facie.
Kes yang pernah menarik perhatian ramai sejak 2022 akhirnya menemui penamat apabila Mahkamah Tinggi Temerloh membuat keputusan hari ini.
Memetik Harian Metro, bekas diplomat, Datuk Zainal Abidin Alias bersama anaknya, Mohamed Rizal dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan berkaitan ganja selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Mahkamah dapati banyak keraguan dalam kes
Dua beranak ini sebelum ini dibicarakan di atas pertuduhan pengedaran ganja seberat 989.6 gram, penyimpanan minyak ganja serta penanaman 102 pokok ganja di sebuah rumah di Janda Baik, Bentong.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Roslan Mat Noor selepas meneliti keseluruhan kes di akhir peringkat pendakwaan.
Menurut peguam Muhammad Farhan Shafee yang mewakili kedua-dua tertuduh, mahkamah mendapati terdapat beberapa kelemahan ketara dalam siasatan kes berkenaan termasuk jurang penyiasatan dan kegagalan mengaitkan tertuduh dengan bahan terlarang yang ditemui di hartanah tersebut.
Hakim menyatakan bahawa bentuk muka bumi yang beralun, cerun yang curam, dan dedaunan tropika yang lebat mewujudkan ‘zon bayang’ (shadow zone), yang menjadikannya mustahil bagi Zainal Abidin, yang ketika itu berusia 78 tahun untuk melihat atau mengetahui tentang batas penanaman tersebut dari garaj atau rumah utama.
Mahkamah juga menerima hujahan bahawa 102 pokok ganja yang ditemui di kawasan hartanah tersebut tidak dapat dilihat secara fizikal dari lokasi Zainal Abidin ketika serbuan dijalankan.
Keterangan yang muncul semasa perbicaraan menunjukkan bahawa rumah itu tidak berkunci dan boleh diakses oleh pelbagai pihak ketiga. Hakim turut mengetengahkan beberapa ‘peluang yang terlepas’ oleh pasukan penyiasat yang menyebabkan penemuan mereka tidak selamat untuk diterima sebagai bukti yang kukuh..
Selain itu, analisis forensik digital terhadap peranti milik Mohamed Rizal yang ditahan di Shah Alam turut tidak menemui sebarang bukti komunikasi yang boleh mengaitkan kedua-dua tertuduh dengan kegiatan tersebut.
Hakim merumuskan bahawa kes pihak pendakwaan hanya bersandarkan kepada syak wasangka dan bukannya keterangan yang boleh dipercayai, mahkamah memerintahkan supaya Zainal Abidin dan Mohamed Rizal dibebaskan dan dilepaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri.
Peguam turut memaklumkan bahawa reaksi Zainal Abidin ketika serbuan polis menunjukkan beliau memberi kerjasama sepenuhnya dan tidak menunjukkan sebarang tanda cuba melarikan diri.
Pssttt! Kes ini sekali lagi menunjukkan bahawa dalam sistem perundangan, setiap pertuduhan perlu dibuktikan dengan bukti yang kukuh dan siasatan yang teliti. Lebih-lebih lagi apabila pertuduhan melibatkan hukuman berat seperti hukuman mati, keputusan mahkamah mestilah berasaskan fakta dan bukti yang jelas, bukan sekadar syak wasangka.
Kredit: Harian Metro
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
Arini, Editor-In-Chief di Oh! Media, merupakan penulis sepenuh masa yang pakar dalam menghasilkan artikel berkaitan isu viral dan trending di media sosial, memastikan pembaca sentiasa mendapat maklumat yang terkini dan menarik.




