PEMAIN-pemain industri hartanah menjangkakan projek pembangunan di Malaysia berpotensi mengalami kelewatan sekiranya ketegangan geopolitik global berterusan.
Tinjauan dilakukan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mendapati, daripada 55 responden, 36 peratus menjangkakan kelewatan sederhana, 32.3 peratus kelewatan kecil, manakala 13.3 peratus lagi berpendapat kelewatan besar mungkin berlaku.
Sebaliknya, hanya 8.3 peratus responden menjangka tiada kelewatan, manakala 10.1 peratus menyifatkan masih terlalu awal untuk menilai kesan tersebut.
Presiden REHDA, Datuk Ir Ho Hon Sang berkata, 42.6 peratus responden menjangkakan impak sederhana daripada konflik geopolitik berterusan, manakala 29.6 peratus lagi menjangkakan impak yang signifikan terhadap sektor berkenaan di Malaysia.
Bagaimanapun menurutnya, REHDA kekal optimis bagi prospek pasaran hartanah negara pada 2026 walaupun ketegangan geopolitik global mencetuskan kebimbangan terhadap kesan rantaian global, sentimen ekonomi dan kos pembinaan.
“Kami berharap keadaan tidak akan menjadi lebih buruk. Walaupun kita agak jauh daripada kawasan konflik, itu tidak bermakna ia tidak akan mempengaruhi kita.
“Jika tekanan meningkat dan melibatkan lebih banyak negara, kos tenaga boleh meningkat secara mendadak dan bahan tertentu yang perlu diimport melalui laluan logistik yang panjang juga boleh terjejas,” katanya dalam sidang media Taklimat Tinjauan Industri Hartanah Separuh Kedua 2025 serta Prospek Pasaran 2026 di Wisma Rehda di sini pada Jumaat.

Hon Sang ketika memberi taklimat Tinjauan Industri Hartanah Separuh Kedua 2025 serta Prospek Pasaran 2026 di Wisma Rehda di Petaling Jaya, pada Jumaat.
Beliau menjelaskan, buat masa ini sektor tersebut dilihat masih stabil tanpa tanda jelas berlakunya kemerosotan dalam kadar jualan hartanah.
“Pengukuhan ringgit, kestabilan OPR (Kadar Dasar Semalaman) pada 2.75 peratus seperti diputuskan Jawatankuasa Dasar Monetari serta persekitaran politik yang stabil, antara faktor yang terus menyokong pasaran hartanah ketika ini.
“Walaupun harga jualan dan kos pembinaan meningkat, kenaikan itu dilihat masih boleh diuruskan,” katanya.
Namun beliau menegaskan, dalam keadaan ketidaktentuan global, pemain industri perlu memberi tumpuan kepada faktor yang boleh dikawal secara dalaman bagi memastikan kelangsungan operasi.
“Kita mungkin tidak dapat mengawal faktor luaran, tetapi kita boleh mengawal faktor dalaman.
“Pemaju perlu meneliti struktur kos mereka, mengurus syarikat dengan lebih efektif dan mengelakkan perbelanjaan yang tidak perlu,” katanya.
Beliau menegaskan, pengurusan aliran tunai yang baik menjadi faktor kritikal, khususnya ketika berdepan keadaan ekonomi yang tidak menentu.
“Seperti yang sering dinasihatkan oleh Perdana Menteri, syarikat perlu berbelanja secara berhemah dan hanya apabila benar-benar perlu.
“Bagaimana kita menjaga pelaburan, mengurus syarikat dengan cekap dan meningkatkan produktiviti untuk melakukan lebih banyak dengan sumber yang terhad adalah dorongan ekonomi yang sangat penting,” katanya.
Justeru beliau berkata, REHDA akan terus memainkan peranan sebagai suara industri dengan menyalurkan maklum balas kepada agensi kerajaan berkaitan, khususnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), sekiranya terdapat isu yang memberi kesan kepada sektor hartanah.
“Saya berharap keadaan geopolitik global akan kembali stabil dalam tempoh terdekat.
“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan, tetapi kita berharap keadaan akan kembali reda dan konflik yang berlaku dapat berakhir dengan cepat,” katanya.
Ringkasan AI
- Pemain industri hartanah menjangkakan projek pembangunan di Malaysia mungkin mengalami kelewatan akibat ketegangan geopolitik global
- Tinjauan REHDA mendapati majoriti responden menjangkakan kelewatan dari kecil hingga besar dalam projek pembangunan
- Hanya sedikit responden yang menjangka tiada kelewatan atau menyifatkan masih terlalu awal untuk menilai kesan
- Walaupun ada kebimbangan akibat ketegangan geopolitik, REHDA kekal optimis terhadap prospek pasaran hartanah negara
- Pemain industri disarankan untuk mengurus syarikat secara lebih efektif dan mengelakkan perbelanjaan tidak perlu bagi menghadapi ketidaktentuan global


