Pemandu ambulans tak mengaku bersalah melakukan rompak bersenjata

Pemandu ambulans tak mengaku bersalah melakukan rompak bersenjata

am@hmetro.com.my

Temerloh: Pemandu ambulans sebuah klinik kesihatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata di tiga premis perniagaan di daerah ini.

Mohamad Syahrizan Nazar, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pindaan dibacakan di hadapan Hakim Jamaluddin Mat.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merompak wang tunai dianggarkan RM2,140 selain dua kotak rokok, tiga botol minuman berperisa, satu paket snek berperisa dan satu beg membeli-belah bernilai RM50.70.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga premis berasingan menggunakan senjata iaitu sebilah pisau lipat dan sebilah pedang.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 1 Mac, 4 Mac dan 7 Mac 2026 di kedai serbaneka 24 jam di Jalan Sri Chengal dan Jalan Bendera Mahkota di sini serta sebuah stesen minyak di Desa Murni, Kerdau.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zaffar dan Adriana Azrin yang memohon mahkamah tidak membenarkan jaminan kerana tertuduh dipercayai berpotensi menjadi ancaman kepada pengusaha premis perniagaan lain di daerah ini.

Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Khairul Anuar Abu Hassan Ashaari yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan.

Menurutnya, anak guamnya bekerja sebagai pemandu ambulans di sebuah klinik kesihatan di daerah ini dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan.

Katanya, tertuduh turut menanggung isteri, tiga anak yang masih bersekolah serta seorang bapa yang menghidap angin ahmar.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Hakim turut menetapkan syarat tertuduh tidak mengganggu saksi dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 22 April 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes, lantikan peguam dan serahan dokumen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top