lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan digesa menggugurkan takrifan pemastautin tetap (PR) dalam Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) bagi melindungi periuk nasi pekerja gig tempatan.
Setiausaha Agung Majlis Ekonomi GiG Malaysia (MyGiG), Fairuz Jamaludin berkata, perkara terbabit menjadi kelompongan kritikal dalam peruntukan akta berkenaan yang berisiko menggugat kelangsungan hidup pekerja gig warganegara.
Menurutnya, MyGiG mendapati terdapat percanggahan definisi dalam akta itu yang memberi pengiktirafan kepada pemastautin tetap sebagai pekerja gig.
“Perkara ini jelas bertentangan dengan dasar sedia ada di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang menetapkan hanya warga Malaysia dibenarkan beroperasi sebagai pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing.
“Jika takrifan dalam Akta 872 ini tidak diperhalusi, ia boleh mewujudkan pertindihan undang-undang dan kekeliruan dari segi pelaksanaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Fairuz berkata, pengiktirafan kepada pemastautin tetap juga berpotensi memberi kesan kepada kestabilan kadar tambang dan upah dalam industri gig tempatan.
Katanya, sektor ekonomi gig ketika ini beroperasi sepenuhnya berasaskan mekanisme penawaran dan permintaan yang sangat sensitif terhadap jumlah pekerja dalam pasaran.
“Ketika ini industri sudah dipacu oleh lebih 1.2 juta pekerja gig tempatan yang berdepan persaingan sengit.
“Sekiranya status pemastautin tetap turut diiktiraf sebagai pekerja gig, ia akan menyebabkan lambakan penawaran tenaga kerja,” katanya.
Beliau berkata, situasi itu berisiko memberi ruang kepada syarikat pengendali platform untuk terus menekan kadar tambang serta upah yang ketika ini sudah berada pada tahap rendah.
“Keadaan berkenaan secara tidak langsung boleh menjejaskan sumber pendapatan pekerja gig tempatan yang bergantung kepada sektor itu sebagai punca rezeki utama.
“Sehubungan itu, MyGiG menggesa Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk duduk semeja bagi menyelaraskan pelaksanaan Akta 872 supaya tidak berlaku pertindihan bidang kuasa.
“Langkah itu penting memandangkan akta berkenaan dijangka dikuatkuasakan pada penghujung Mac ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




