LONDON: Penyerang Chelsea, Pedro Neto dikenakan penggantungan satu perlawanan serta denda 70,000 pound (RM365,713) oleh Persekutuan Bolasepak England selepas insiden salah laku ketika aksi menentang Arsenal baru-baru ini.
Pemain sayap Portugal itu dilayangkan dua kad kuning dalam tempoh tiga minit ketika Chelsea tewas 1-2 kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris itu.
Kad kuning pertama diterima Neto kerana membantah jaringan Arsenal sebelum dia dilayangkan kad kedua selepas melakukan kekasaran terhadap pemain sayap lawan, Gabriel Martinelli.
Badan bola sepak England menerusi kenyataan menjelaskan tindakan disiplin dikenakan selepas Neto gagal meninggalkan padang dengan segera selain mengeluarkan kata-kata kesat kepada pegawai perlawanan.
“Pemain itu didakwa bertindak secara tidak wajar apabila gagal meninggalkan padang dengan segera selepas dibuang padang.
“Dia juga didakwa menggunakan kata-kata kesat terhadap pegawai perlawanan selepas insiden tersebut,” kata kenyataan itu.
Penggantungan tersebut menyaksikan Neto akan terlepas aksi penting Chelsea menentang Newcastle United dalam saingan liga hujung minggu ini.
Malah pemain berusia 25 tahun itu turut berdepan siasatan disiplin Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) selepas dilaporkan menolak seorang budak pengutip bola ketika Chelsea tewas 2-5 kepada Paris Saint-Germain dalam aksi Liga Juara-juara (UCL). – AGENSI




