
Negara-negara anggota IEA memiliki lebih daripada 1.2 bilion tong stok minyak kecemasan selain 600 juta tong stok industri lagi disimpan di bawah kewajipan kerajaan. Foto Agensi
PARIS – Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) bersetuju melepaskan 400 juta tong minyak dari rizab strategik negara anggotanya sebagai sebahagian usaha menangani lonjakan harga tenaga global dek ketegangan di Asia Barat.
Cadangan tersebut merupakan jumlah yang terbesar sejak 182 juta tong minyak dilepaskan susulan kempen pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022.
“Kita sedang berdepan cabaran pasaran minyak pada skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Saya menyambut baik kesediaan negara anggota kami yang bertindak balas secara kolektif di bawah langkah kecemasan berskala besar tersebut.
“Tanpa laluan yang mencukupi ke pasaran dan dengan tiada lagi ruang simpanan tersedia, pengeluar minyak di Asia Barat telah mula mengurangkan pengeluaran.
“Kita juga menyaksikan serangan dan kerosakan lanjut ke atas infrastruktur tenaga dan berkaitan tenaga. Operasi loji penapisan turut terganggu yang kini memberi impak besar ke atas bekalan minyak jet dan diesel,” ujar Pengarah Eksekutif IEA, Fatih Birol pada Rabu.
Antara negara anggota yang bersetuju dengan langkah kecemasan itu ialah Jerman, Austria, Jepun, Britain. Korea Selatan dan AS selepas krisis minyak telah mencetuskan panik dalam kalangan pengguna di seluruh dunia yang berpusu-pusu mendapatkan bekalan bahan api sejak akhir minggu lalu.
Negara-negara anggota IEA memiliki lebih daripada 1.2 bilion tong stok minyak kecemasan selain 600 juta tong stok industri lagi disimpan di bawah kewajipan kerajaan.
Minyak mentah penanda aras antarabangsa, Brent telah melonjak lebih 25 peratus sejak peperangan di Asia Barat meletus pada 28 Februari.
Pada awal minggu lalu, Brent didagangkan pada AS$119 setong, kali pertama harga minyak melepasi AS$100 setong sejak konflik Rusia-Ukraine pada 2022. – Agensi
Ringkasan AI
- Agensi Tenaga Antarabangsa bersetuju melepaskan 400 juta tong minyak dari rizab strategik untuk menangani lonjakan harga tenaga
- Pelepasan ini merupakan yang terbesar sejak 182 juta tong dilepaskan susulan kempen pencerobohan Rusia ke atas Ukraine
- Pengeluar minyak di Asia Barat mengurangkan pengeluaran akibat ketiadaan laluan mencukupi ke pasaran dan ruang simpanan
- Negara-negara anggota IEA yang bersetuju dengan langkah kecemasan termasuk Jerman, Austria, Jepun, Britain, Korea Selatan dan AS
- Minyak mentah Brent telah melonjak lebih 25 peratus sejak peperangan di Asia Barat meletus



