Hubungan baik Persekutuan, negeri jamin penyelesaian banyak perkara: Abang Johari

Hubungan baik Persekutuan, negeri jamin penyelesaian banyak perkara: Abang Johari

mdroji@bh.com.my

Kuching: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sarawak membuka ruang kepada perbincangan penting antara Kerajaan Persekutuan dan negeri mengenai pelbagai isu berkaitan kepentingan rakyat serta pembangunan negeri.

Menurutnya, pertemuan itu membolehkan kedua-dua pihak bertukar pandangan dan mencari penyelesaian terhadap beberapa perkara yang dibangkitkan demi kesejahteraan rakyat.

“Dengan semangat setiakawan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak, nampaknya beberapa perkara yang dibincangkan dapat diselesaikan dengan baik,” katanya ketika berucap pada

Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri Tahun 2026 Peringkat Negeri Sarawak di Perkarangan Masjid Jamek, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Abang Johari turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri kini memberi tumpuan kepada perbincangan dengan pemimpin negara Islam susulan perkembangan semasa yang memberi kesan kepada ekonomi global.

Menurutnya, usaha itu penting bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu antarabangsa yang berpotensi memberi implikasi kepada ekonomi dunia, khususnya di rantau Asia.

Beliau berkata, Malaysia berharap peranan yang dimainkan Perdana Menteri dapat menyumbang kepada usaha meredakan ketegangan dan membantu mewujudkan keadaan yang lebih stabil di peringkat antarabangsa.

Tambahnya, kestabilan politik serta perpaduan rakyat di negara ini turut membantu kerajaan memberi tumpuan kepada peranan Malaysia di pentas dunia.

“Keadaan negara yang aman serta ekonomi yang stabil membolehkan pelaburan terus masuk ke Malaysia termasuk ke Sarawak, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top