
Presiden Prabowo ketika mempengerusikan mesyuarat pada Jumaat. – Foto: Ihsan Antara
JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengarahkan angkatan tentera dan polis Indonesia menggerakkan kapal serta aset logistik lain bagi membantu melancarkan pergerakan besar rakyat negara itu sempena musim pulang ke kampung menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Arahan itu disampaikan beliau ketika Mesyuarat Kabinet Merah Putih yang berlangsung di Istana Negara, Jakarta pada Jumaat, lapor Antara.
Menurut Prabowo, aset milik Tentara Nasional Indonesia (TNI) termasuk kapal milik Tentera Laut dan Tentera Darat boleh digerakkan dengan penyelarasan bersama Kementerian Pengangkutan bagi menyokong kelancaran perjalanan rakyat.
“Mungkin Tentera Laut dan Tentera Darat mempunyai kapal yang boleh digunakan dengan koordinasi bersama Menteri Pengangkutan,” katanya.
Beliau turut mengarahkan Panglima TNI, Agus Subiyanto serta Ketua Polis Negara, Listyo Sigit Prabowo supaya memanfaatkan segala kemudahan dan aset yang ada untuk membantu operasi berkenaan.
“Saya percaya pihak polis juga mempunyai aset serta kemudahan yang boleh digunakan bagi tujuan ini,” katanya.
Mesyuarat itu turut dihadiri Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka bersama barisan menteri dan ketua agensi kerajaan.
Mesyuarat itu memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi fenomena tahunan dikenali sebagai mudik, iaitu pergerakan serentak puluhan juta rakyat merentasi kepulauan Indonesia untuk pulang ke kampung halaman menjelang Aidilfitri.
Dalam pada itu, Prabowo mengingatkan semua kementerian dan agensi kerajaan supaya membuat persiapan rapi bagi memastikan perjalanan pulang rakyat berjalan lancar.
“Saya mahu semua kementerian dan agensi membuat persiapan sebaiknya bagi menyambut Aidilfitri supaya perjalanan pulang ke kampung tahun ini selamat, selesa dan menggembirakan rakyat,” katanya.
Beliau turut mengaitkan kesiapsiagaan domestik dengan keadaan ketidaktentuan global ketika ini.
Menurutnya, banyak negara sedang berdepan pelbagai krisis yang menyumbang kepada ketidaktentuan dunia, namun ekonomi negara perlu terus bergerak dan rakyat diminta kekal tenang.
“Walaupun terdapat pelbagai risiko, keadaan di Indonesia masih terkawal,” katanya sambil menegaskan negara itu mempunyai keupayaan untuk berdepan pergolakan antarabangsa.
Ringkasan AI
- Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengarahkan angkatan tentera dan polis untuk menggunakan kapal dan aset logistik bagi membantu pergerakan rakyat sempena Hari Raya Aidilfitri
- Arahan tersebut disampaikan dalam mesyuarat Kabinet Merah Putih di Istana Negara Jakarta
- Prabowo mengesyorkan penggunaan kapal Tentera Laut dan Tentera Darat dengan koordinasi Kementerian Pengangkutan
- Panglima TNI dan Ketua Polis Negara diminta untuk memanfaatkan segala kemudahan dan aset membantu operasi tersebut
- Mesyuarat itu memberi tumpuan persiapan untuk fenomena mudik, pergerakan puluhan juta rakyat pulang ke kampung halaman menjelang Aidilfitri


