4 perompak serbu waktu sahur

4 perompak serbu waktu sahur

am@hmetro.com.my

Sepang: Seorang lelaki berusia 35 tahun berdepan detik cemas apabila kediamannya di Taman Aman, Sungai Pelek di sini, dipecah masuk sekumpulan penyamun bersenjata awal pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bin Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden samun berkumpulan itu yang berlaku kira-kira jam 2.30 pagi, kelmarin.

Menurutnya, mangsa lelaki tempatan dikatakan sedang berada di rumah bersama keluarganya sebelum didatangi empat perompak.

“Dalam pergelutan yang berlaku, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota tubuh akibat serangan suspek menggunakan senjata tajam.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya semalam.

Susulan kejadian itu, pihak polis kini giat menjalankan usaha mengesan dan menangkap kesemua suspek yang masih bebas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda, dan sebat jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Hussaini Bin Helmee di talian 019-8966292 atau menyalurkan maklumat di balai polis berdekatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top