nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Bekalan telur gred AA di negeri ini berkurangan sejak Ramadan susulan permintaan tinggi terutama di kalangan pengusaha kuih.
Tinjauan di beberapa premis mendapati kebanyakan telur yang dijual adalah gred A hingga D.
Pemborong telur, Mohd Sharizal Semsuddin, 43, berkata jika sebelum ini bekalan telur gred berkenaan tidak menjadi masalah, namun berkurangan sejak memasuki Ramadan.
“Ini kerana kebanyakan pengusaha kuih menggunakan telur gred AA bagi memastikan rasa kuih yang berkualiti menyebabkan permintaan terhadap telur berkenaan meningkat.
“Saya mendapatkan bekalan telur dari ladang di Melaka dan Johor. Permintaan tinggi terhadap telur gred berkenaan bukan hanya di Kelantan sebaliknya hampir kebanyakan negeri.
“Disebabkan itu bekalan berkurangan. Namun bagi gred A hingga C, tiada masalah bekalan,” katanya ketika ditemui di premis miliknya.
Mohd Sharizal yang terbabit sebagai pemborong telur sejak lebih dua tahun itu berkata, sambutan terhadap jualan telur adalah memberansangkan.
Katanya, sebanyak 3,500 papan telur terjual dalam tempoh dua hari sahaja termasuk digunakan sendiri untuk pembuatan kuih akok.
“Sejak bekalan telur gred AA berkurangan, bekalan yang ada hanya untuk kegunaan sendiri memandangkan saya turut mengusahakan kuih akok, sebaliknya jualan kepada orang ramai dan peruncit hanya untuk gred A hingga C.
“Selain menjual runcit di kedai, saya juga menghantar bekalankepada peruncit di Terengganu dan Pahang.
“Kebanyakan peruncit yakin dengan bekalan telur yang saya sediakan kerana saya tidak menipu gred selain telur yang dijual adalah segar memandangkan bekalan sentiasa diambil setiap dua hari. Pada masa sama saya tidak menjual telur kotor,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




