Lebih 10,000 peniaga terima manfaat! DBKL potong sewa tapak penjaja 50% mulai 1 April

Lebih 10,000 peniaga terima manfaat! DBKL potong sewa tapak penjaja 50% mulai 1 April

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan pengurangan kadar sewaan tapak penjaja serta beberapa premis di bawah seliaannya sebanyak 50 peratus bermula 1 April ini hingga 31 Disember 2027.

DBKL potong sewa tapak penjaja

Memetik laporan daripada Berita Harian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menyatakan inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 10,000 tapak penjaja dan premis perniagaan kecil milik DBKL sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos operasi yang dihadapi peniaga.

Beliau berkata, pengurangan tersebut dilaksanakan susulan peningkatan kos sara hidup akibat ketidaktentuan ekonomi global termasuk kenaikan harga minyak dunia serta kos logistik.

“Inisiatif ini sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos operasi dihadapi penjaja dan peniaga mikro di bandar,” katanya pada sidang media Pengumuman Pemotongan Sewa 50 Peratus Tapak Penjaja Bagi Membantu Rakyat Hadapi Tekanan Kos Sara Hidup di Pusat Penjaja Permaisuri.

Bantu peniaga kecil dan rakyat bandar

Tambahnya, langkah itu juga menjadikan DBKL antara pihak berkuasa tempatan pertama di Malaysia yang melaksanakan pengurangan kadar sewa secara menyeluruh pada skala besar bagi membantu peniaga kecil dan rakyat bandar.

“Pengurangan ini dilaksanakan melalui potongan 50 peratus secara menyeluruh dengan kadar sewaan minimum ditetapkan pada RM50 sebulan.
“Ini bermakna walaupun potongan 50 peratus diberikan, kadar sewaan akhir yang dikenakan kepada penyewa tidak akan kurang daripada RM50 sebulan,” katanya.

Menurut Hannah, bagi premis yang mempunyai kadar sewa RM50 dan ke bawah pula, kadar tersebut akan dikekalkan tanpa sebarang pengurangan.

“Sebagai contoh, jika kadar sewaan asal adalah RM160, selepas potongan 50 peratus kadar baharu menjadi RM80. Jika kadar asal RM80, potongan secara matematik menjadikannya RM40, namun kadar sewa yang dikenakan tetap RM50 kerana tertakluk kepada kadar minimum yang ditetapkan.
“Sekiranya kadar sewaan asal adalah RM30, maka kadar sewaan itu akan dikekalkan pada kadar sedia ada iaitu RM30,” katanya.

Artikel lain: Bukan isu dakwah! Aduan kanopi punca DBKL bertindak di Street Dakwah -Hannah Yeoh

Beliau turut memaklumkan penyewa perlu melangsaikan sebarang tunggakan terlebih dahulu sebelum layak menikmati insentif pengurangan kadar sewa tersebut.

Menurutnya, langkah itu merupakan pendekatan sementara bagi membantu peniaga kecil menghadapi tekanan kos sara hidup selain mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan dasar yang dilaksanakan memberi kelegaan kepada peniaga kecil tanpa menjejaskan keupayaan DBKL menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada warga kota.

Scroll to Top