mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan sebahagian bayaran hak penyiaran untuk pasukan yang bersaing dalam saingan Liga Super musim ini telahpun disalurkan, manakala baki bayaran akan diselesaikan secara berperingkat sehingga tamat musim.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata langkah itu bagi memastikan semua pasukan mendapat hak mereka tanpa menjejaskan aliran kewangan liga.
“Sebahagian bayaran sudah kita salurkan kepada pasukan.Baki yang tinggal akan dibayar secara perlahan-lahan sehingga musim berakhir,” katanya.
Ditanya mengenai jumlah keseluruhan bayaran hak penyiaran, Mohd Shazli enggan mendedahkan angka sebenar tetapi menegaskan nilainya kekal seperti musim lalu.
“Jumlahnya agak besar dan saya tidak mahu tersilap menyebut angka sebenar. Tapi secara ringkas, ia masih sama seperti tahun lepas,” ujarnya.
Menurut rekod rasmi, setiap pasukan Liga Super menerima RM500,000 secara agihan sama rata, manakala agihan merit diberikan mengikut kedudukan akhir liga.
Juara liga menerima RM1.9 juta, diikuti naib juara RM1.4 juta dan tempat ketiga RM1 juta.
Pasukan di tangga keempat menerima RM700,000, manakala kelab di kedudukan kelima mendapat RM550,000.
Agihan seterusnya berkurangan RM50,000 bagi setiap kedudukan sehingga pasukan di tangga tercorot memperoleh RM100,000 sahaja.
Langkah ini disifatkan penting bagi memastikan kelab terus stabil dari segi kewangan dan membolehkan mereka memberi fokus kepada pembangunan pasukan serta prestasi di padang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




