Indonesia mungkin pertimbang BDR – Prabowo

Indonesia mungkin pertimbang BDR – Prabowo

Jakarta: Indonesia mungkin melaksanakan pengaturan bekerja dari rumah (BDR) sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan penggunaan bahan api susulan kenaikan harga minyak global.

Presiden Prabowo Subianto berkata, beberapa negara telah pun menerima pakai langkah serupa seperti yang digunakan semasa pandemik COVID-19, termasuk pengaturan bekerja dari rumah.

Sehubungan itu, beliau menugaskan pegawai untuk mengkaji kemungkinan melaksanakan langkah berkenaan bagi meningkatkan kecekapan.

“Maksud saya, dalam beberapa hari akan datang kita boleh meneliti perkara ini. Saya fikir kita juga mesti berusaha untuk berjimat. Saya percaya dalam tempoh dua hingga tiga tahun kita akan menjadi sangat kukuh, namun kita masih perlu mengurangkan penggunaan,” katanya semasa mesyuarat pleno Kabinet, pada Jumaat.

Prabowo berkata, kerajaan perlu terus berwaspada terhadap perkembangan di Eropah dan Asia Barat, sambil memberi amaran bahawa kenaikan harga bahan api boleh memberi kesan berangkai terhadap harga makanan walaupun bekalan makanan asas Indonesia kekal terjamin.

“Perkembangan sedang berlaku di peringkat global di rantau seperti Eropah dan Asia Barat, dan ini sudah tentu akan memberi kesan kepada kita kerana ia boleh mempengaruhi harga bahan api. Harga bahan api juga boleh menjejaskan harga makanan. Syukur, kita telah memastikan bekalan makanan asas kita terjamin,” katanya.

Presiden itu turut menekankan kepentingan mengekalkan disiplin fiskal dan menyatakan harapan agar kerajaan dapat mengelakkan defisit belanjawan negara daripada terus melebar.

“Aspirasi kita ialah jika boleh kita tidak mempunyai defisit. Sasaran kita ialah belanjawan negara mencapai belanjawan seimbang, yang merupakan keadaan ideal dan saya percaya kita boleh mencapainya,” katanya.

Prabowo menambah bahawa kerajaan juga sedang mempercepat rancangan untuk memperkukuh rizab bahan api serta menggesa pegawai mengambil langkah proaktif bagi menjangkakan potensi gangguan global.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top