'Kami tidak mahu berperang dengan negara jiran' – Duta besar Iran ke Moscow

'Kami tidak mahu berperang dengan negara jiran' – Duta besar Iran ke Moscow

Moscow: Iran menegaskan tidak mahu berkonflik dengan negara Islam di Asia Barat walaupun berdepan ketegangan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, kata Duta Besar Iran ke Moscow Kazem Jalali, dalam satu temu bual, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Kami tidak berniat menjejaskan negara di rantau ini. Kami menganggap negara Islam di rantau ini sebagai rakan kami, dan kami sama sekali tidak mahu membuka konflik baharu dengan mereka,” kata Jalali.

Sebelum ini, Pemimpin Agung baharu Iran Mojtaba Khamenei, dalam ucapan pertamanya berkata Tehran mungkin akan memperluas konfrontasi dengan AS dan Israel sekiranya ketegangan di rantau ini berterusan.

Jalali berkata Tehran berulang kali memberi amaran bahawa ia akan bertindak balas terhadap serangan yang datang dari wilayah negara Asia Barat dan maklumat ini telah disampaikan bukan sahaja secara terbuka tetapi juga melalui saluran diplomatik kepada negara jiran.

“Saya percaya ini tindakan yang rasional kerana kami tidak boleh membenarkan pangkalan di negara lain digunakan untuk menyerang dan membunuh rakyat kami.

“Namun, kami pasti tidak mahu berperang dengan negara jiran; kami ingin hidup aman dan tenteram,” kata duta itu.

Pada 28 Februari, AS dan Israel melancarkan serangan terhadap sasaran di Iran, termasuk di Tehran, yang mengakibatkan kemusnahan dan korban awam.

Iran bertindak balas dengan menyerang wilayah Israel dan kemudahan tentera AS di Asia Barat.

AS dan Israel pada awalnya mendakwa serangan “permulaan” mereka diperlukan untuk menangkis ancaman program nuklear Iran, tetapi kemudian menegaskan mereka mahu melihat perubahan kuasa di Iran.

Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei, dilaporkan terbunuh pada hari pertama operasi ketenteraan.

Republik Islam mengisytiharkan tempoh berkabung selama 40 hari.

Pada 8 Mac, anaknya Mojtaba dilantik sebagai pengganti, walaupun belum muncul di khalayak.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei, berkata Pemimpin Agung baharu itu cedera tetapi berada dalam keadaan baik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top