JAKARTA: Sebuah organisasi Islam terbesar di Indonesia, Muhammadiyah, menetapkan Hari Raya Aidilfitri 1447H jatuh pada Jumaat, 20 Mac.
Keputusan itu diumumkan Majlis Tarjih dan Tajdid organisasi berkenaan, yang menentukan tarikh-tarikh Islam menggunakan sistem Kalendar Hijri Global Bersatu (KHGT).
Tarikh tersebut susulan keputusan Persidangan Kebangsaan ke-32 Majlis Tarjih Muhammadiyah, yang menerima pakai sistem KHGT sebagai asas untuk menentukan kalendar Islam.
Jadual itu juga ditetapkan dalam Keputusan Pimpinan Pusat Muhammadiyah No.2/MLM/I.0/E/2025 mengenai penentuan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah 1447 Hijrah.
Pengerusi Majlis Tarjih dan Tajdis Muhammadiyah, Hamim Ilyas berkata, permulaan Syawal mengikuti keputusan persidangan untuk melaksanakan sistem kalendar Islam global.
“Permulaan Syawal 1447H merujuk kepada keputusan Persidangan Kebangsaan Majlis Tarjih Muhammadiyah ke-32 mengenai Kalendar Hijri Global Bersatu (KHGT),” kata Hamim dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sistem KHGT ialah kalendar Islam global berasaskan pengiraan astronomi moden yang menggunakan prinsip tarikh Islam tunggal di seluruh dunia.
Di bawah sistem ini, bulan lunar baharu bermula jika, di mana-mana sahaja di Bumi sebelum pukul 24:00 UTC, bulan memenuhi kriteria elongasi minimum 8 darjah dan ketinggian anak bulan sekurang-kurangnya 5 darjah ketika matahari terbenam.
“Berdasarkan data astronomi yang memenuhi kriteria KHGT, di mana sesebuah kawasan merekodkan elongasi 8 darjah dan ketinggian anak bulan 5 darjah sebelum pukul 24:00 UTC, hari pertama Syawal 1447 Hijriyah jatuh pada Jumaat, 20 Mac 2026,” kata Hamim.
Sementara itu, kerajaan Indonesia dan organisasi Islam lain seperti Nahdlatul Ulama masih belum menetapkan tarikh Hari Raya Aidilfitri. Pihak berkuasa merancang untuk mengadakan sesi isbat, atau mesyuarat rukyah, pada 19 Mac untuk memutuskan tarikh rasmi.- AGENSI




