Kuching: Sebanyak 23 barangan keperluan disenaraikan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di Sarawak bermula hari ini hingga 28 Mac depan sempena perayaan Aidilfitri.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata barangan tersebut termasuk kepak ayam, daging lembu import, kobis bulat import dan beberapa keperluan lain seperti bawang kuning besar serta cili kering merah yang dikenal pasti mempunyai permintaan tinggi ketika musim perayaan.
“Penentuan senarai barangan, harga maksimum dan tempoh pelaksanaan skim dibuat berdasarkan beberapa faktor, antaranya ketersediaan bekalan, kos semasa, keadaan cuaca, kadar upah serta faktor lain yang berkaitan.
“Dalam menetapkan harga maksimum, KPDN turut mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada rakan strategik kerajaan termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan serta pemain industri,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan ke sebuah pasar raya di Kota Samarahan, hari ini.
Beliau berkata secara keseluruhan, sebanyak 27 barangan dikenal pasti di seluruh negara untuk diletakkan di bawah harga maksimum kerana ia merupakan barangan yang mempunyai permintaan tinggi ketika musim perayaan.
“Skim ini dilaksanakan selama 15 hari, meliputi tujuh hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tujuh hari selepas perayaan.
“Sebanyak 27 jenis barangan telah dikenal pasti sebagai barangan harga terkawal di bawah skim ini, dengan jumlah barangan berbeza mengikut negeri iaitu 24 barangan di Semenanjung, 23 barangan di Sabah dan Sarawak serta 22 barangan di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.
Fuziah berkata bagi memastikan pematuhan peniaga, pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah.
“Langkah ini penting bagi memastikan hak pengguna terus dilindungi serta mengelakkan pelanggaran terhadap peraturan yang ditetapkan.” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




