Serangan dron ganggu operasi memuatkan minyak di Pelabuhan Fujairah

Serangan dron ganggu operasi memuatkan minyak di Pelabuhan Fujairah

Istanbul: Beberapa operasi pemuatan minyak di Pelabuhan Fujairah yang terletak di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan berada di luar Selat Hormuz, ditangguhkan pada pagi Sabtu susulan serangan dron dan kebakaran, lapor Anadolu Ajansi yang memetik laporan Bloomberg.

Serangan itu menyusul selepas serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Pulau Kharg di Iran, dengan Tehran memberi amaran bahawa sebarang tindakan menyasarkan infrastruktur minyak dan tenaganya akan mencetuskan serangan balas terhadap kemudahan tenaga yang dikaitkan dengan AS di rantau berkenaan.

Presiden AS Donald Trump pada Jumaat berkata AS telah memusnahkan semua sasaran ketenteraan di Pulau Kharg dan mengancam untuk menyerang infrastruktur minyak pulau itu jika Iran terus menyekat kapal di Selat Hormuz.

Pulau Kharg merupakan hab eksport minyak utama Iran, yang mengendalikan kira-kira 90 hingga 95 peratus eksport minyak mentah negara itu, dengan kira-kira 1.7 juta tong sehari pada tahun lepas.

Pulau tersebut berfungsi sebagai komponen utama sistem tenaga Iran dan sumber pendapatan kerajaan yang penting.

Tehran secara berkesan telah menutup Selat Hormuz sejak 1 Mac, susulan pelancaran serangan bersama oleh Israel dan AS terhadap Iran pada 28 Februari, yang setakat ini telah mengorbankan kira-kira 1,300 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.

Permusuhan sejak itu semakin memuncak.

Tehran telah bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq, dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, yang mengakibatkan kemalangan jiwa dan kerosakan pada infrastruktur awam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top