nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan mesyuarat minggu hadapan bagi membuat penelitian secara terperinci berkaitan cadangan bekerja dari rumah (BDR) membabitkan kementerian berkenaan termasuk pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdPR).
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, berkata mesyuarat berkenaan membabitkan pengurusan tertinggi KPM termasuk Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Setiausaha.
Bagaimanapun katanya, pihaknya bersedia dengan segala kemungkinan termasuk BDR dan melaksanakan PdPR sekiranya perkara itu perlu dilakukan susulan keputusan dibuat kerajaan minggu hadapan.
“Minggu hadapan saya dan Menteri Pendidikan, KSU dan pengurusan tertinggi KPM akan mengadakan perbincangan selepas keputusan dibuat oleh kerajaan.
“Kita akan tengok saranan berkenaan dan teliti daripada semua sudut untuk kita laksanakan supaya mencapai matlamatnya. Bukan dengar sahaja dan kita terus buat yang akhirnya matlamat tidak capai.
“Sebaliknya kita akan teliti dengan cermat supaya mencapai apa yang ditetapkan kerajaan.
“Pada masa sama kita juga sudah mempunyai pengalaman bekerja dari rumah ketika COVID-19, namun sekarang ini untuk penjimatan susulan konflik Amerika Syarikat dan Iran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selwpas menghadiri Program Jaulah Ramadan dan Komuniti Kementerian Penddiikan di Kolej Vokasional Pengkalan Chepa.
Sementara itu ketika ditanya sama ada ia turut membabitkan institusi sekolah dan pelajar, Mohd Azam berkata, ia akan dilaksanakan sekiranya perlu dilakukan.
“Kita akan teliti kalau ada rasional kerja dari rumah ini membabitkan sekolah.
“Kalau ada rasionalnya dan keputusan perlu dibuat, kita akan buat.
“KPM akan teliti dengan cermat dan penuh hikmah untuk membuat keputusan terbaik untuk anak-anak kita,” katanya.
Semalam media melaporkan, cadangan supaya penjawat awam BDR bagi memastikan kesinambungan operasi kerajaan dalam berdepan kesan akibat konflik geopolitik akan diputuskan pada mesyuarat Kabinet minggu depan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz untuk meneliti cadangan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




