KPM pasang 333 lagi CCTV di asrama sekolah

KPM pasang 333 lagi CCTV di asrama sekolah

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperluaskan pemasangan televisyen litar tertutup (CCTV) di 333 lagi asrama sekolah di seluruh negara tahun ini sebagai langkah memperkukuh keselamatan pelajar serta mengekang kes buli.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Mohd. Azam Ahmad berkata, pemasangan fasa kedua itu dilakukan selepas 200 asrama sekolah dibawah KPM di seluruh negara sudah dilengkapi kemudahan tersebut sepanjang tahun lalu.

Katanya, pelaksanaan projek itu akan dibuat secara berperingkat bagi memastikan pemasangan peranti keselamatan berkenaan benar-benar mematuhi garis panduan teknikal serta perundangan sedia ada.

“Kita tidak boleh memasang CCTV sesuka hati kerana terdapat akta berkaitan privasi yang perlu dipatuhi.

“Kita mahu memastikan lokasi pemasangan itu benar-benar sesuai supaya sistem tersebut efektif dan berkesan,” katanya kepada pemberita selepas Program Jaulah Ramadan Komuniti KPM di Kolej Vokasional Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Mohd. Azam memberitahu, KPM turut mendapatkan pandangan daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) serta pihak berkaitan termasuk agensi yang memperjuangkan hak kanak-kanak bagi memastikan pemasangan CCTV tidak menjejaskan aspek privasi pelajar.

Katanya, nasihat teknikal daripada Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) juga akan diperoleh memandangkan pemasangan peranti keselamatan tersebut melibatkan struktur bangunan kerajaan.

“KPM sebelum ini telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi kerja-kerja pemasangan CCTV di asrama sekolah sebagai usaha meningkatkan tahap keselamatan pelajar.

“Proses perolehan bagi pemasangan sistem keselamatan itu sudah dijalankan dan kerja pemasangan akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” ujarnya.

Utusan Malaysia, 4 September tahun lalu melaporkan, sebanyak 200 buah asrama sekolah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan dipasang dengan kamera televisyen tertutup (CCTV) dalam masa terdekat sebagai usaha memperketat tahap keselamatan pelajar.-UTUSAN

Scroll to Top