SHAH ALAM – Jenama langsir tempatan terkemuka, MK Curtain Berhad memeriahkan sambutan Ramadan dengan menghimpunkan seramai 500 warga komuniti dan rakan niaga menerusi penganjuran Majlis Berbuka Puasa Ramadan di Nilai, Negeri Sembilan pada Rabu.
Seiring penganjuran majlis tersebut, MK Curtain Berhad turut melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertemakan ‘Pemberian Dari Hati’ dengan menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan.
Majlis penyampaian sumbangan itu turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Pengerusi MK Curtain Berhad, Datin Moon Sze Fui berkata, inisiatif itu bertujuan membantu golongan memerlukan, selaras dengan semangat Ramadan yang menekankan nilai keprihatinan, perkongsian dan amalan memberi kepada masyarakat.
“Melalui inisiatif berkenaan, MK Curtain telah menyalurkan bantuan kepada beberapa individu yang memerlukan antaranya penghibur dan pengacara televisyen tempatan, Shamsul Ghau Ghau.

Mk Curtain menghimpunkan seramai 500 warga komuniti dan rakan niaga menerusi penganjuran Majlis Berbuka Puasa Ramadan di Nilai, Negeri Sembilan pada Rabu.
“Beliau kini berdepan cabaran kesihatan selepas mengalami strok dan sedang menjalani rawatan serta proses pemulihan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Hadir sama Pengasas MK Curtain Berhad, Datuk Wira (Dr) Calvin Khiu; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan, Arul Kumar A/L Jambunathan dan Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, DSP Muhammad Asiff Jamaldin.
Ujar Sze Fui, sumbangan bantuan juga diberikan kepada bekas jurugambar di sebuah syarikat media tempatan, Djohan Shahrin, yang berdepan cabaran meneruskan hidup selepas mengalami kemalangan tahun lalu.
“MK Curtain telah menyalurkan bantuan kewangan kepada kedua-dua individu tersebut bagi membantu mereka membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Selain itu, syarikat turut menaja pemasangan langsir di kediaman Djohan Shahrin bagi menceriakan suasana rumahnya,” ujarnya.
Menurut Sze Fui, seramai 42 orang anak yatim Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Asnaf AlBarakh Malaysia dan 14 pelajar Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari di Puchong, Selangor turut menerima duit raya sebagai tanda berkongsi keberkatan Ramadan.
Katanya, sesebuah syarikat bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada pembangunan perniagaan, malah turut memainkan peranan dalam menyumbang kepada masyarakat.
“Kami berharap inisiatif seperti ‘Pemberian Dari Hati’ ini dapat membantu lebih ramai golongan yang memerlukan, di samping menggalakkan lebih ramai usahawan dan syarikat untuk bersama-sama menyertai usaha kebajikan,” kata beliau.
Sementara itu, Ahmad Maslan turut memuji usaha berterusan MK Curtain dalam melaksanakan inisiatif kebajikan dan menyumbang kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Usaha seperti ini mencerminkan peranan penting sektor korporat dalam membantu masyarakat serta memberi impak positif kepada pembangunan sosial,” katanya.
Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan qasidah oleh pelajar dari AlBarakh, dan pertunjukan tarian singa yang dibawa khas daripada Johor Bahru.
Ringkasan AI
- MK Curtain Berhad menghimpunkan 500 orang di Majlis Berbuka Puasa di Nilai
- Melancarkan inisiatif CSR ‘Pemberian Dari Hati’ bagi membantu golongan memerlukan
- Majlis disaksikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan
- Sumbangan bantuan diberikan kepada individu seperti Shamsul Ghau Ghau dan Djohan Shahrin
- Anak yatim dan pelajar Maahad Tahfiz juga menerima duit raya sebagai sebahagian daripada inisiatif ini



