
Donald Trump. Foto: Agensi
ISTANBUL – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Sabtu berkata bahawa negara yang terjejas oleh cubaan Iran untuk menutup Selat Hormuz akan menghantar kapal perang bersama-sama AS bagi memastikan selat itu “kekal terbuka dan selamat” lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan di platform media sosial miliknya, Truth Social, Trump menggesa China, Perancis, Jepun, Korea Selatan dan United Kingdom (UK) supaya menghantar kapal perang untuk mengawal keselamatan di Selat Hormuz.
Trump mendakwa bahawa AS telah memusnahkan “100 peratus keupayaan ketenteraan Iran, tetapi adalah mudah bagi mereka untuk menghantar satu atau dua dron, menggugurkan periuk api, atau melancarkan peluru berpandu jarak dekat di mana-mana sepanjang, atau di dalam laluan air ini, tidak kira betapa teruk pun mereka dikalahkan.”
Beliau juga menafikan laporan yang mendakwa lima pesawat pengisi minyak AS telah diserang dan tidak lagi dapat digunakan dalam satu serangan di sebuah lapangan terbang di Arab Saudi, sambil menyifatkannya sebagai ‘berita palsu’.
“Empat daripada lima pesawat itu hampir tidak mengalami sebarang kerosakan dan telah pun kembali beroperasi,” katanya.
Iran telah menyekat sepenuhnya laluan di Selat Hormuz sejak 1 Mac, susulan serangan bersama oleh Israel dan AS terhadap Iran pada 28 Feb, yang setakat ini telah mengorbankan lebih 1,200 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu Ayatollah Ali Khamenei. Permusuhan sejak itu semakin memuncak.
Tehran telah bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq, dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, yang mengakibatkan kemalangan jiwa dan kerosakan pada infrastruktur awam. – Bernama-Anadolu
Ringkasan AI
- Donald Trump menggesa negara-negara terjejas oleh Iran untuk menghantar kapal perang ke Selat Hormuz
- Trump mendakwa AS telah memusnahkan keupayaan ketenteraan Iran tetapi Iran masih mampu melakukan serangan
- Trump menafikan laporan serangan terhadap lima pesawat pengisi minyak AS di Arab Saudi sebagai berita palsu
- Empat daripada lima pesawat yang didakwa diserang hampir tidak mengalami kerosakan dan sudah kembali beroperasi
- Iran menyekat sepenuhnya Selat Hormuz sejak 1 Mac setelah serangan bersama oleh Israel dan AS



