PETALING JAYA: Seramai 6,132 anggota polis akan ditugaskan melakukan rondaan di taman perumahan dan kawasan-kawasan berisiko tinggi susulan cuti Hari Raya Aidilfitri minggu depan.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, ia membabitkan 3,375 aset kenderaan iaitu sebanyak 1,732 unit rondaan bermotosikal (URB) dan 1,643 unit kereta peronda (MPV) di seluruh negara.
Katanya, rondaan berkenaan bagi memastikan tiada kejadian jenayah seperti pecah masuk berlaku di kawasan kediaman susulan orang ramai yang pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Kita juga akan melakukan rondaan dikawasan-kawasan yang dijangkakan akan mengalami kesesakan trafik bagi memastikan perjalanan orang ramai pulang ke kampung dengan lancar dan selamat.
“Seramai 6,132 anggota polis akan terlibat dalam tugasan rondaan sepanjang cuti Hari Raya Aidilfitri yang akan datang,
“Pihak polis juga menasihati orang ramai yang ingin meninggalkan rumah masing-masing bagi pulang ke kampung agar mengisi borang balik kampung secara manual di balai polis berhampiran atau memuat turun aplikasi Volunteer Smartphone Patrol,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Konvoi Iftar Sanjungan Budi Frontliner di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini hari ini.
Beliau berkata, aplikasi itu memudahkan orang ramai memaklumkan ketiadaan mereka di rumah serta menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
“Maklumat itu membantu pihak polis menjalankan rondaan dan pemantauan secara berkala khususnya di kawasan hotspot jenayah dan lokasi yang kerap berlaku kesesakan,” katanya.- UTUSAN




