
UNIFIL telah melancarkan siasatan terhadap insiden berkenaan. Foto hiasan
ISTANBUL – Seorang anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) cedera dalam serangan semalaman ke atas posisi Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) di selatan Lubnan, yang turut mengakibatkan kebakaran, kata seorang pegawai pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi.
Jurucakap UNIFIL Kandice Ardiel berkata dalam satu kenyataan bahawa “satu daripada posisi kami berhampiran Meiss ej Jebel telah terkena serangan, berkemungkinan daripada tembakan mesingan berat.”
Beliau menambah bahawa “impak tersebut menyebabkan kebakaran, dan seorang anggota pasukan pengaman yang sedang dalam perjalanan ke tempat perlindungan mengalami kecederaan ringan.”
Ardiel berkata UNIFIL telah melancarkan siasatan terhadap insiden berkenaan.
Beliau turut mengingatkan semua pihak tentang tanggungjawab masing-masing dengan berkata: “Kami mengingatkan semua pelaku tentang kewajipan mereka untuk memastikan keselamatan dan sekuriti anggota pasukan pendamai pada setiap masa.”
Kumpulan Hizbullah di Lubnan mula menyasarkan tapak tentera Israel pada 2 Mac sebagai tindak balas terhadap serangan AS-Israel ke atas Iran yang mengorbankan Pemimpin Agung ketika itu Ali Khamenei di Tehran, serta serangan Israel ke atas Lubnan, walaupun gencatan senjata telah dicapai pada November 2024.
Israel memperluaskan kempennya pada hari yang sama dengan serangan udara ke atas pinggir bandar selatan Beirut serta kawasan di selatan dan timur Lubnan.
Pada 3 Mac, Israel juga melancarkan pencerobohan darat terhad ke selatan Lubnan, bersama-sama kempen ketenteraan bersama AS terhadap Iran yang bermula pada 28 Februari. – Bernama-Anadolu
Ringkasan AI
- Seorang anggota pasukan pengaman PBB cedera dalam serangan ke atas Pasukan Interim PBB di Lubnan Serangan tersebut menyebabkan kebakaran UNIFIL telah melancarkan siasatan terhadap insiden berkenaan UNIFIL mengingatkan semua pihak tentang tanggungjawab memastikan keselamatan anggota pasukan pendamai Kumpulan Hizbullah di Lubnan mula menyasarkan tapak tentera Israel sebagai tindak balas terhadap serangan AS-Israel ke atas Iran



