am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Pasukan Gerakan Am (PGA) akan mengambil tindakan mengikut prosedur biasa termasuk siasatan tatatertib terhadap seorang koperal yang ditahan bagi membantu siasatan kes tembak yang menyasarkan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Bukit Kayu Hitam di Kedah.
Komander Briged Utara PGA Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar berkata, kes kini disiasat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
“PGA akan tunggu keputusan siasatan polis Kedah sebelum sebarang tindakan lanjut diambil…. kita akan ikut prosedur biasa.
“Buat masa sekarang proses sedang dijalankan bagi menentukan sama ada terdapat pelanggaran tatatertib oleh anggota terbabit,” katanya.
Seorang koperal PGA berusia lingkungan 30-an yang bertugas di unit risik sempadan sebelum ini dilapor ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian tembak yang berlaku bulan lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata siasatan awal mendapati koperal berkenaan mempunyai hubungan rapat dengan ahli sindiket yang dipercayai terbabit kes itu.
Suspek juga dilaporkan berada di lokasi bersama ahli sindiket kira-kira empat hingga lima jam sebelum kejadian tembakan berlaku.
© New Straits Times Press (M) Bhd




