am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seolah-olah perniagaan menguntungkan menjelang Aidilfitri apabila munculnya ramai ‘broker’ duit kertas yang menawarkan khidmat menukar wang kepada not bernilai kecil.
Trend dan perkhidmatan bermusim yang menguntungkan ini semakin popular apabila mereka menggunakan media sosial untuk mengiklankan perkhidmatan.
Tinjauan wartawan mendapati perkhidmatan ini dipromosikan secara terbuka di platform seperti Facebook Marketplace, Telegram, Tiktok dan Trend dengan iklan memaparkan tawaran seperti ‘duit raya pelbagai nilai’, ‘wang kecil siap susun’ serta jaminan penghantaran ke pelbagai lokasi.
Berdasarkan iklan ditemui, penyedia perkhidmatan ini menawarkan pakej menukar wang raya not kertas RM1 atau RM5 dengan menetap kadar caj tertentu.
Sebagai contoh, pelanggan yang mahu menukar RM100 hanya menerima not kecil berjumlah RM90 atau RM95 manakala baki selebihnya (RM10 atau RM5) dianggap sebagai upah perkhidmatan penukaran not kertas kecil.
Ada juga yang mengenakan caj tetap melebihi RM10 bagi setiap pek wang not kecil yang sudah disusun di dalam sampul raya bergantung jumlah wang yang mahu ditukar pelanggan.
Pemerhatian wartawan mendapati aktiviti tukar wang ini bukanlah perkara baharu namun ia semakin popular susulan kesukaran orang ramai mendapatkan not kecil di kaunter bank.
Seorang ejen yang dihubungi wartawan mendakwa sudah menjalankan perkhidmatan itu tiga tahun berturut-turut terutama bagi pelanggan sekitar Lembah Klang.
“Tahun ini masuk tahun ketiga saya tawarkan bantuan kepada orang ramai. Biasanya pelanggan saya kalangan pekerja swasta yang sibuk dan tiada masa beratur (menukar wang) di bank. Jadi saya tolong tukarkan duit (yang sudah) siap disusun. Senang untuk mereka berikan kepada kanak-kanak semasa raya,” katanya ketika dihubungi melalui mesej.
Menurutnya, perkhidmatan itu juga mendapat sambutan hangat apabila ramai pelanggan menghadapi kesukaran mendapatkan wang kertas not kecil di bank susulan permintaan meningkat menjelang Aidilfitri.
“Saya hanya mengenakan caj RM10 termasuk upah penghantaran RM5 bagi pelanggan yang mahu menukar wang RM100.
“Wang kertas not kecil ini akan terus dihantar ke pintu rumah atau pejabat pelanggan mengikut waktu dipersetujui,” katanya.
Menurutnya, ada nitizen menuduhnya menggunakan khidmat ‘orang dalam’ untuk memperolehi not kertas kecil itu dalam jumlah besar.
“Itu adalah fitnah kerana kami beratur berjam-jam di pintu bank bagi menukar wang kecil ini. Penat lelah kami tiada siapa yang tahu,” katanya.
Bagaimanapun pemerhatian wartawan mendapati ada antara golongan ‘ejen wang kecil’ ini mampu menawarkan khidmat penukaran wang sehingga mencecah RM50,000 dalam tempoh seminggu.
Ini bermakna mereka mampu memperoleh keuntungan bersih sekitar RM5,000 hanya melalui aktiviti penukaran wang not kecil dilakukan.
Selain menawarkan khidmat menukarkan wang kecil not RM1 dan RM5, golongan ini turut menyediakan khidmat mendapatkan wang kertas RM10 dan RM20 dalam kuantiti besar.
Namun di sebalik khidmat ditawarkan, timbul persoalan dari sudut hukum syarak adakah mengambil keuntungan daripada pertukaran wang seperti ini dibenarkan dalam Islam.
Ini berikutan wujud pandangan ulama dalam bidang Fiqh Muamalat bahawa pertukaran wang membabitkan mata wang sama tertakluk kepada prinsip Riba al-Fadl, iaitu pertambahan atau lebihan dalam pertukaran barangan ribawi yang sejenis.
Dalam kes wang kertas yang sama nilai mata wangnya, pertukaran mestilah berlaku dengan nilai sama dan secara tunai.
Jika terdapat lebihan pada salah satu pihak contohnya menukar RM100 tetapi menerima RM90 atau RM95, lebihan itu dianggap sebagai unsur riba yang diharamkan.
Hukum itu turut dibincangkan dalam hadis sahih Nabi Muhammad SAW mengenai pertukaran barangan ribawi yang mesti sama nilai.
Jika seseorang menukar RM100 dengan RM100 dalam not kecil, itu harus. Tetapi jika dia menukar RM100 dan menerima RM90 kerana bayaran ‘upah’, maka lebihan RM10 itu boleh jatuh kepada riba kerana mata wang yang ditukar adalah jenis yang sama.
Bagaimanapun terdapat keadaan yang dianggap harus iaitu jika bayaran itu benar-benar dianggap sebagai caj perkhidmatan, seperti kos penghantaran atau penyusunan sampul dan bukan keuntungan daripada nilai wang itu sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




