am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Berpegang kepada matlamat mementingkan kualiti dan memenuhi citarasa pelanggan menjadikan biskut tradisional diusahakan Mohd Naharudin Isa kekal diminati selama tiga generasi.
Mohd Naharudin, 57, berkata, dia mengusahakan perniagaan biskut sejak 30 tahun lalu dan sentiasa memastikan kualiti terjamin supaya pelanggan yang kebanyakannya warga bandar raya serta pelancong Singapura dapat merasakan keenakannya sama seperti zaman awal dia berniaga.
Menurutnya, lebih 10 jenis biskut dan kuih tradisional seperti tart nanas, dahlia, semperit, suji, makmur, bangkit santan, bangkit gula melaka, mazola, siput, putu kacang dan bahulu masih menjadi buruan ramai untuk dinikmati di Aidilfitri.
Katanya, pembuatan hanya dilakukan secara berperingkat mengikut permintaan ramai bagi mengelakkan berlaku ‘lambakan’ biskut.
“Apa yang penting adalah biskut perlu bertahan, berkualiti, enak serta menepati citarasa pelanggan semua peringkat usia.
“Walaupun kami turut menjual lebih 10 jenis biskut moden namun kami sentiasa memastikan biskut tradisional mengekalkan resipi asli kerana ia menggamit nostalgia zaman kecil.
“Ia simbol nostalgia Aidilfitri yang menggamit kenangan zaman kanak-kanak dan kampung halaman.
“Pada masa dulu, biskut raya ini hanya dihasilkan di rumah, pasti kita terbayang kemeriahan raya dan kenangan silam menyiapkannya bersama ahli keluarga,” katanya.
Mohd Naharudin berkata, dia bersyukur kerana mampu mempromosikan biskut tradisional ini serta diminati pelanggan yang tidak melepaskan peluang mengunjungi kedai Nahar Power di Angsana Mall di Tampoi, di sini.
Menurutnya, dia mengekalkan harga biskut serendah RM10 hingga RM34 sama seperti tahun lalu supaya pelanggan berasa puas hati
“Memang kos bahan naik, terutama mentega dan coklat.
“Tetapi saya rasa tidak sampai hati untuk naikkan harga terlalu tinggi kerana ramai pelanggan setia dan memastikan dapat menyeimbangkan kos pembuatan, saya membeli bahan mentah secara pukal untuk mendapatkan harga lebih rendah.
“Bagi saya, berniaga bukan sekadar mencari keuntungan semata-mata, tetapi berkongsi rezeki dengan pelanggan terutama menjelang perayaan,” katanya.
Sementara itu, anak perempuannya, Nur Hanisah, 26, berkata, antara cabaran berniaga biskut raya ialah kehadiran pelanggan pada masa dan waktu yang tidak dapat dijangkakan.
“Waktu operasi kedai kami adalah antara 10 pagi hingga 10 malam namun sempena Ramadan ini ia dilanjutkan hingga jam 12 tengah malam.
“Sudah 18 tahun saya membantu ayah berniaga dan dia sentiasa menekankan nilai jujur, amanah serta berbudi bahasa kepada pelanggan tanpa mengira bangsa.
“Selain menjadi pilihan umat Islam, kedai kami juga mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa yang mendapatkan biskut untuk dijadikan sebagai buah tangan sempena Aidilfitri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




