Ganggu operasi MRT tiga hari, empat suspek curi kabel ditahan

Ganggu operasi MRT tiga hari, empat suspek curi kabel ditahan

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis menahan empat suspek yang dipercayai terbabit dalam kes kecurian kabel di transit aliran massa (MRT) Laluan Putrajaya yang menyebabkan gangguan operasi perkhidmatan selama tiga hari.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan berkata, tangkapan dilakukan menerusi maklumat risikan dan intipan bersama Unit Polis Bantuan Prasarana serta pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor baru-baru ini.

“Keempat-empat suspek berusia antara 30 hingga 45 tahun itu turut dibawa ke lokasi kejadian bagi tujuan pengecaman serta membantu siasatan berkaitan barang kes yang ditemui.

“Tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh Prasarana berhubung kejadian kecurian kabel berhampiran Stesen Sri Damansara Barat pada 3 Mac lalu,” kata kenyataan itu, hari ini.

Susulan insiden itu, Prasarana berkata, perkhidmatan laluan MRT Laluan Putrajaya mengalami gangguan selama tiga hari dan menimbulkan kesulitan kepada ribuan pengguna pengangkutan awam kendalian Prasarana.

Mengulas lanjut mengenai insiden itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata, kerjasama antara pihaknya dan polis akan terus diperkukuh menerusi pemantauan, intipan serta perkongsian maklumat bagi membanteras kegiatan kecurian kabel.

Dalam pada itu, pihaknya turut merakamkan ucapan syabas dan penghargaan kepada pasukan polis dari IPK Selangor atas tindakan pantas dan profesional dalam memberkas suspek serta membantu mempercepatkan proses siasatan.

“Prasarana pada masa sama akan terus memperkukuhkan langkah keselamatan di sepanjang jajaran MRT Laluan Putrajaya termasuk meningkatkan rondaan keselamatan, pemantauan serta kerjasama strategik dengan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan infrastruktur pengangkutan awam sentiasa terpelihara.

“Orang ramai juga diseru untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan yang boleh menjejaskan keselamatan kemudahan pengangkutan awam negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top