am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 akan dikuatkuasakan pada 1 Jun ini selepas diwartakan pada 30 Januari lalu, iaitu empat bulan lebih awal berbanding jadual asal.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata ketika Rang Undang-Undang (RUU) pindaan itu dibentangkan di Parlimen, sasaran awal tempoh peralihan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 ialah selama 18 bulan selepas tarikh diwartakan.
“Namun, pelbagai pihak termasuk sebahagian Ahli Parlimen yang mengutarakan supaya pindaan tersebut berkuat kuasa secepat mungkin.
“Selepas rundingan susulan dibuat, Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 akan dikuatkuasakan lebih awal iaitu pada 1 Jun 2026, iaitu empat bulan selepas diwartakan pada 30 Januari 2026,” katanya pada sidang media sempena sambutan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.
Armizan bagaimanapun berkata, tempoh peralihan boleh diberikan kepada penyedia sewa beli yang memerlukan masa untuk menyesuaikan sistem, dokumentasi dan proses selaras dengan keperluan baharu.
Katanya, bagi penyedia yang sudah bersedia boleh mula menawarkan perjanjian sewa beli mengikut pindaan baharu sebaik sahaja tarikh kuat kuasa bermula pada 1 Jun 2026.
“Selain itu, seperti yang diumumkan oleh Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM), Persatuan Institusi-Institusi Perbankan Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan (ADFIM) pada Disember 2025, institusi perbankan juga menawarkan diskaun ihsan bermula pada tarikh kuat kuasa Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 iaitu 1 Jun 2026.
“Diskaun ini akan diberikan kepada pelanggan di bawah kaedah lama, iaitu kadar faedah sama rata dan peraturan 78, yang memilih untuk membuat penyelesaian awal bagi memastikan baki tertunggak mereka setara dengan pelanggan yang memasuki perjanjian baharu, iaitu berasaskan Kadar Faedah Efektif dan Kaedah Pengurangan Baki, di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026,” katanya.
Beliau berkata, reformasi undang-undang itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan ekosistem kredit yang lebih telus dan berintegriti, meningkatkan tadbir urus industri serta melindungi hak dan kepentingan rakyat sebagai pengguna di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Armizan berkata usaha itu diambil KPDN sebagai satu ikhtiar dalam memperkukuh ekosistem kredit bagi menambah baik perlindungan pengguna melalui pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967 yang telah dilaksanakan pada 2026.
“Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 bertujuan menterjemahkan prinsip keadilan kredit pengguna dan pemodenan dalam konteks perjanjian sewa beli melalui beberapa perubahan utama.
“Pertama, pindaan ini memansuhkan penggunaan Kadar Faedah Tetap Sama Rata (flat rate) dan kaedah Peraturan 78 (Rule of 78).
“Di bawah kaedah itu, sebahagian besar bayaran ansuran pada peringkat awal tempoh pinjaman digunakan untuk membayar faedah, manakala hanya sebahagian kecil diperuntukkan kepada bayaran prinsipal.
“Keadaan ini menyebabkan peminjam yang ingin menyelesaikan pinjaman lebih awal terpaksa menanggung baki pinjaman yang tinggi dan tidak mencerminkan kos sebenar pinjaman,” katanya.
Armizan berkata, peruntukan baharu melalui pindaan yang dibuat itu memperkenalkan Kaedah Pengurangan Baki dan Kadar Faedah Efektif bagi pinjaman sewa beli berkadar tetap.
Melalui kaedah itu, katanya faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa, sekaligus menjadikan penyelesaian awal pinjaman lebih telus dan adil kepada pengguna.
“Kedua, pindaan ini menyokong transformasi digital dengan membenarkan penggunaan teknologi dalam perjanjian sewa beli.
“Ini termasuk kebenaran untuk menggunakan tandatangan dan penyerahan dokumen secara digital serta elektronik bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses perjanjian.
“Di samping itu, pindaan ini turut memperkenalkan keperluan pelaksanaan usaha wajar untuk pengesahan identiti peminjam sebagai langkah mengurangkan risiko penipuan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



