saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Peningkatan prestasi beregu lelaki muda negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai, akhirnya menjawab segala keraguan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi selepas mereka mempamerkan aksi memberangsangkan dalam dua kejohanan berturut-turut di Eropah.
Gandingan muda itu mencuri tumpuan apabila menewaskan pasangan nombor empat dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada pusingan pertama Seluruh England, sebelum langkah mereka terhenti di pusingan kedua selepas tumpas di tangan wakil China, Chen Bo Yang-Liu Yi.
Momentum positif itu diteruskan di Terbuka Switzerland apabila Khai Xing-Aaron sekali lagi menunjukkan peningkatan apabila mara sehingga ke suku akhir.
Herry mengakui persembahan dipamerkan pasangan muda itu membuatkan beliau perlu menilai semula pandangannya sebelum ini yang pernah membayangkan kemungkinan gandingan berkenaan dipisahkan sekiranya gagal mencatat keputusan memberangsangkan.
“Dengan pencapaian itu, mereka menjawab segala keraguan saya, khususnya Khai Xing yang dapat mengikuti segala taktikal. Saya perlu menilai semula pencapaian mereka selepas pamerkan prestasi yang sangat baik.
“Seluruh England umpamanya adalah kejohanan yang bertaraf cukup tinggi dan ia adalah penampilan pertama mereka di kejohanan itu. Tapi mereka berjaya mengalahkan pasangan ranking keempat dunia (Satwiksairaj-Chirag).
“Pemain senior negara juga tak mudah hendak tewaskan pasangan India itu, tetapi mereka berjaya melakukannya. Pada Terbuka Switzerland pula, Aaron-Khai Xing bermain dengan konsisten apabila berjaya mengalahkan dua gandingan yang lebih senior daripada mereka,” katanya.
Menurut Herry, prestasi itu memberi gambaran bahawa pasangan muda berkenaan memiliki potensi besar sekiranya terus mengekalkan sikap dan komitmen tinggi dalam latihan.
Katanya, kejayaan sebenar seseorang pemain banyak bergantung kepada motivasi dan kemahuan mereka sendiri untuk berjaya.
“Jika pemain mempunyai motivasi tinggi, pasti mereka akan ikut jejak langkah senior mereka, tapi kalau tiada motivasi, prestasi mereka akan biasa-biasa sahaja.
“Ketika di sesi latihan pun sudah boleh nampak kemahuan seseorang pemain itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




